MyEG bekerjasama dengan Biro Kastam Filipina sedia rumusan khidmat perdagangan rentas sempadan | DagangNews Skip to main content

MyEG bekerjasama dengan Biro Kastam Filipina sedia rumusan khidmat perdagangan rentas sempadan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 KUALA LUMPUR 27 Julai - My E.G. Services Berhad (MyEG) telah memeterai kerjasama dan memperoleh kelulusan kawal selia untuk menggunakan perkhidmatan pelepasan kastam dan pemprosesan berasaskan blockchain untuk perdagangan antara Filipina dan China.

 

Kumpulan itu, bersama-sama syarikatnya yang diperbadankan di Filipina, menandatangani perjanjian untuk kerjasama dengan Biro Kastam Filipina (BOC) dan Cargo Data Exchange Center Inc. (CDEC), katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Kerjasama tersebut membuka jalan kepada Filipina untuk mengguna pakai rumusan digital Ztrade antara China dan rakan dagangannya yang menggunakan platform blockchain MyEG.

 

Di bawah kerjasama itu, MYEG akan menyediakan Ztrade di Filipina termasuk pemasangan, latihan dan bantuan dengan keperluan penyesuaian.

 

Sementara itu, CDEC, yang merupakan pembekal perkhidmatan rumusan perdagangan dan logistik untuk BOC, akan menyokong integrasi Ztrade ke platformnya bagi memastikan pengalaman yang lancar untuk pengguna.

 

Inisiatif MyEG ini adalah susulan perkongsian antara kumpulan tersebut dan East Logistic-Link Co., Ltd, sebuah agensi milik penuh Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC), pada Mac lalu bagi menyediakan perkhidmatan perdagangan rentas sempadan dengan memanfaatkan platform blockchain Zetrix.

 

 

BACA: MyEG jalin kerjasama dengan China Customs, sedia khidmat perdagangan rentas sempadan

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan MYEG, Wong Thean Soon berkata kumpulan itu berbesar hati Ztrade, yang menawarkan pemprosesan perdagangan rentas sempadan yang lebih pantas, selamat, lebih bijak dan lebih kos efektif, kini turut diiktiraf di Filipina, selain di Malaysia dan China.

 

 

Wong Thean Soon
Wong Thean Soon

 

 

“Kami tidak sabar-sabar untuk mengembangkan perkhidmatan ini kepada negara lain sambil kami meneruskan objektif kami untuk menggunakan rumusan perintis ini, yang memanfaatkan kuasa teknologi Web3 dan AI, merentasi ASEAN dan rantau RCEP,” katanya.

 

Beliau berkata pelancaran Ztrade di Filipina juga memperluaskan kehadiran MyEG sebagai pemboleh utama pendigitalan kerajaan di Nusantara.

 

Pada waktu penulisan, saham MyEG menokok 0.5 sen atau 0.7% kepada 76.5 sen dengan modal pasaran bernilai RM5.7 bilion. - DagangNews.com