MyEG: Kutipan dana menerusi tawaran saham pilihan bijak - MIDF | DagangNews Skip to main content

MyEG: Kutipan dana menerusi tawaran saham pilihan bijak - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Usaha kutipan dana menerusi tawaran saham (placement) oleh syarikat perkhidmatan, MyEG Services Berhad merupakan jalan terbaik sebagai sebahagian proses pengembangan kumpulan itu. 

 

Menurut MIDF Research, sekiranya MyEG melaksanakan kutipan dana menerusi pinjaman bank, kumpulan syarikat itu mungkin jatuh ke dalam kedudukan rugi. 

 

Setakat suku ketiga tahun kewangan 2020 (3Q20), kumpulan syarikat itu mempunyai tunai bersih bernilai RM102.4 juta. 

 

“Tambahan lagi, memandangkan tranche pertama daripada tawaran itu selesai, kami melihat kumpulan syarikat tersebut tidak mempunyai isu untuk meletakkan saham-saham tambahan apabila diperlukan,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, MyEG mengumumkan hasrat kumpulan syarikat itu untuk menawarkan RM220 juta saham baharu yang mewakili kira-kira 6.29% daripada jumlah terbitan sahamnya tidak termasuk saham perbendaharaan. 

 

Hasil daripada tawaran saham itu akan digunakan untuk membiayai pembinaan asrama buat pekerja asing di bawah projeknya yang sedang berlangsung, membangunkan perkhidmatan berkaitan kesihatan dan membeli aset tetap seperti kiosk bagi pembaharuan cukai jalan dalam talian. 

 

Tranche pertama telah selesai di mana MyEG akan menerbitkan 120 juta saham baharu mewakili 3.43% daripada jumlah keseluruhan terbitan saham.

 

Menerusinya, MyEG dapat mengumpul dana sehingga RM216.0 juta.

 

Bagi MIDF, langkah itu tepat pada masanya terutama pembinaan asrama untuk pekerja asing dapat meningkatkan keadaan penempatan mereka dengan lebih baik. 

 

“Kami tidak mengubah ramalan perolehan FY20 MyEG. Bagaimanapun, kami meningkatkan jangkaan perolehan FY21 dan FY22 masing-masing kepada RM313.0 juta dan RM363.0 juta. 

 

“Ini mengambil kira daripada sumbangan perolehan lebih tinggi daripada perkhidmatan berkaitan COVID-19, perkhidmatan pengangkutan jalan dan segmen pekerja asing,” tambah MIDF. 

 

MIDF mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap saham MyEG dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2. 

 

Berdasarkan perkembangan tersebut, MIDF menjangkakan MyEG akan terus mencatatkan pertumbuhan perolehan sihat bagaimanapun, penutupan sempadan antarabangsa akan menurunkan keuntungan syarikat itu dalam segmen perkhidmatan pekerja asing. 


Dalam pada itu, masih tiada perkembangan mengenai projek Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) yang dijangka diserahkan apabila pandemik COVID-19 mula ‘surut’. - DagangNews.com