MYEG mampu berkembang luas dalam pasaran Filipina - MIDF | DagangNews Skip to main content

MYEG mampu berkembang luas dalam pasaran Filipina - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kerjasama terbaharu membabitkan unit MY E.G Services Bhd. (MYEG) menerusi I-Pay MYEG Philippines Inc. (MYEG Philippines) akan memperkukuhkan kedudukannya di Filipina.

 

Ini membolehkan MYEG memperluaskan penguasaan pasaran di negara tersebut yang memiliki populasi lebih 100 juta, 3 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia, menurut MIDF Research. 

 

"Walaupun, kerjasama ini masih di peringkat awal, tetapi kami percaya ia akan menyumbang secara positif kepada kumpulan dalam jangka masa panjang. 

 

"Pada masa sama, ia turut melengkapkan tawaran perkhidmatan di bawah MYEG yang merangkumi imigresen, automotif, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kewangan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, MYEG Philippines melancarkan 2 perkhidmatan utama e-kerajaan bagi Biro Hasil Dalam Negeri (BIR) dan Zon Pihak Berkuasa Ekonomi Filipina (PEZA).

 

Dengan kerjasama ini, pembayar cukai dan anggota PEZA boleh membuat pemindahan bayaran, pelaburan dan operasi perniagaan dengan pantas di mana-mana sahaja yang mempunyai akses internet. 

 

Perkhidmatan ini bukan sahaja menjadikan transaksi perniagaan lebih mudah dan cepat tetapi lebih penting lagi, keselamatan pengguna terjamin terutama dengan persekitaran COVID-19 yang masih berterusan.

 

MIDF Research bagaimanapun setakat ini tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana ia dijangka menyumbang kepada hasil dalam tempoh jangka panjang. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham MYEG dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.08.

 

"Kami positif terhadap prospek perniagaan jangka panjang MYEG berikutan peningkatan jumlah transaksi e-kerajaan dan pengembangan dalam perniagaan berkaitan konsesi," tambahnya. 

 

Dalam pada itu, MIDF Research juga menjangkakan MYEG akan mendapat manfaat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang mahu memberi fokus untuk meningkatkan pertumbuhan menerusi penggunaan teknologi seperti automasi dan pendigitalan merangkumi hampir kesemua sektor. - DagangNews.com