MyEG peroleh 14.4% kepentingan dalam HeiTech Padu pada harga RM31.25 juta | DagangNews Skip to main content

MyEG peroleh 14.4% kepentingan dalam HeiTech Padu pada harga RM31.25 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Mac - MyEG Services Bhd memperoleh 14.4% kepentingan dalam HeiTech Padu Bhd dengan harga RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan strategiknya.

 

Penyedia e-perkhidmatan itu berkata, unitnya, MyEG Capital Sdn Bhd memperoleh pegangan 14.57 juta saham melalui pasaran terbuka dan urus niaga perniagaan langsung.

 

Menurut MyEG Services , ia membeli 5.16 juta saham daripada pasaran terbuka pada 7 Mac dengan tunai RM11 juta atau RM2.134 sen sesaham HeiTech.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, mereka memperoleh 9.42 juta saham melalui urus niaga perniagaan langsung dengan harga purata RM20.25 juta atau RM2.15 sesaham.

 

 

Mengenai rasional pengambilalihan itu, MyEG berkata, pelaburan itu akan membolehkan syarikat meneroka potensi kerjasama dengan HeiTech bagi mewujudkan sinergi dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman masing-masing sebagai penyedia perkhidmatan e-kerajaan yang mantap.

 

"Pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih, EPS dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024," kata MyEG Services.

 

heitech
HeiTech Padu merupakan syarikat teknologi komunikasi dan maklumat yang menawarkan rangkaian perkhidmatan termasuk penyepaduan sistem dan pembangunan e-kerajaan Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech terima kontrak RM58.9 juta daripada LHDN bagi perkhidmatan rangkaian internet generasi akan datang

 

HeiTech Padu merupakan syarikat teknologi komunikasi dan maklumat yang menawarkan rangkaian perkhidmatan termasuk penyepaduan sistem, pembangunan aplikasi, perkhidmatan infrastruktur terurus dan penyelesaian inovatif merentas sektor serta pembangunan inisiatif e-kerajaan.

 

Saham MyEG telah meningkat 0.65% atau setengah sen kepada 78 sen pada jam 10.31 pagi tadi dengan 3.99 juta saham didagangkan, memberikan syarikat itu nilai pasaran RM5.86 bilion.

 

Sementara itu, HeiTech meningkat 41 sen atau 16.73% kepada RM2.86, memberikannya permodalan pasaran RM289.50 juta.- DagangNews.com