MYNIC perkasa pendigitalan kepada lebih 100 ahli koperasi di Sabah | DagangNews Skip to main content

MYNIC perkasa pendigitalan kepada lebih 100 ahli koperasi di Sabah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - MYNIC Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah menganjurkan Seminar Pendigitalan Koperasi kepada lebih 100 ahli koperasi di bawah SKM di Kota Kinabalu dan Tawau, baru-baru ini.

 

MYNIC berkata, seminar tersebut merupakan salah satu inisiatif MYNIC untuk memperkasa usahawan dalam kalangan ahli koperasi dalam meningkatkan kapasiti serta keupayaan perniagaan mereka dari dalam talian ke luar talian.

 

Katanya, MYNIC sebagai rakan strategik dalam penyelenggaraan seminar itu, menyediakan pelbagai latihan termasuk Latihan Pembangunan Premis Digital yang bertujuan memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada peserta dalam menerajui cabaran pendigitalan perniagaan. 

 

"Salah satu pengisian utama seminar ini adalah Pocket Talk yang bertujuan untuk memberi pendedahan yang komprehensif mengenai kepentingan penggunaan salah satu aset digital negara iaitu, nama domain COOP.MY. 

 

"Selain itu, peserta turut didedahkan dengan strategi pendigitalan yang efektif sejajar dengan aspirasi cabang ekonomi Malaysia MADANI," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, para peserta juga ditekankan mengenai keterjaminan dan keselamatan dalam membina laman web menggunakan COOP.MY. 

 

Katanya, MYNIC akan memastikan pengesahan maklumat pendaftar yang sahih dan tulen sebelum meneruskan proses pendaftaran. 

 

 

mynic

 

 

"Langkah ini dapat mengurangkan risiko penipuan dan penyalahgunaan nama domain .MY. Tambahan lagi, proses ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna serta membina profesionalisme kepada pemilik domain tersebut.

 

"Selain dari Sabah, MYNIC juga telah mengadakan sesi latihan yang sama kepada usahawan koperasi di Melaka, Terengganu, Kedah dan juga Kuching, Sarawak sepanjang tahun 2023," katanya.

 

Katanya, pihaknya berharap untuk terus memainkan peranan sewajarnya sebagai salah satu pembolehupaya di dalam ekosistem ekonomi digital, yang dapat membantu usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengembangkan jenama produk mereka dari Malaysia melangkau ke peringkat antarabangsa.

 

MYNIC merupakan agensi teknikal yang mengurus, mentadbir, mempromosi dan mengembangkan penggunaan nama domain .MY di Malaysia dan peringkat antarabangsa. 

 

Pada November 2022, MYNIC menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama SKM memperkenalkan domain COOP.MY sebagai identiti digital khas kepada koperasi yang berdaftar dengan SKM seluruh negara. - DagangNews.com