KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pemaju hartanah, Myra menjalin perkongsian pintar dengan pakar hiasan dalaman, Livspace menawarkan pilihan hiasan dalaman mampu milik yang mana boleh disesuaikan untuk memenuhi kehendak pembeli rumah pertama.
Menerusi kerjasama Myra dan Livspace pula, ia menawarkan tiga pakej tersendiri bagi memenuhi kemampuan pembeli rumah, khusus untuk penduduk Myra Putra dengan harga tawaran antara RM14,900 hingga RM24,900.
Pakej ini merangkumi rekaan, pengurusan projek, pemasangan perabot, pemasangan lain dan pengubahsuaian rumah sepenuhnya bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan bebas kegusaran kepada pembeli rumah, tanpa perlu berhubung dengan pelbagai kontraktor.
Tawaran ini adalah peluang terbaik kepada pemilik rumah untuk merebut peluang keemasan untuk meraih penjimatan sehingga RM2,500.
Livspace akan memainkan peranan dalam mereka bentuk kediaman anda menjadi lebih moden, minimalis dan bergaya ketika ramai pembeli khususnya pemilik rumah pertama mudah merasa teruja dan tidak tahu di mana perlu bermula.
Sementara itu, projek kediaman Myra Putra dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan, termasuk komuniti berpengawal 24 jam, fasiliti yang pelbagai seperti taman permainan, gelanggang bola keranjang, kawasan memanjat dinding, kawasan berkelah dan taman.
Projek ini terletak berhampiran dengan Nilai, Dengkil, Cyberjaya, Bangi, dan Kajang, yang berkeluasan 920 kaki persegi dengan 3 bilik tidur, 2 bilik air, 1 balkoni dan dua ruang letak kereta. Myra Putra memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah kira-kira RM60.2 juta.
Pengurus Besar Myra, Wendy Lim berkata, pakej mampu milik yang komprehensif ini ditawarkan bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kondusif kepada keluarga kecil dan pembeli rumah kali pertama di mana mereka boleh mereka hias rumah sendiri tanpa perlu bimbang dengan kos yang terlalu tinggi.
"Kerjasama dengan Livspace, adalah matlamat kami untuk menghidupkan semula impian pembeli dalam menyusun dan mereka bentuk rumah pertama mereka menerusi pakej bebas tekanan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Negara Livspace bagi Malaysia, Ryan Teh pula berkata, mereka teruja menjadi sebahagian daripada pembangunan awal dan sebarang nilai tambah yang boleh ditawarkan sebagai syarikat pereka hiasan dalaman terbesar dan semakin berkembang di Asia kepada pemilik rumah.
"Kami menyediakan penyelesaian menyeluruh dari reka bentuk hinggalah pemasangan, sama ada ia untuk pakej sempurna seperti paparan untuk majalah, dapur canggih atau ruang selesa dengan unsur nostalgia untuk anda dan keluarga tersayang," katanya. - DagangNews.com