KUALA LUMPUR 26 Jun - MYStartup dengan kerjasama Digital Penang meneruskan perjalanan NXT keduanya untuk tahun ini di Pulau Pinang.
Program yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula di wilayah utara, MYStartup NXT Penang merungkai pelbagai strategi untuk syarikat pemula berdaya saing seterusnya memacu kejayaan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.
Dianjurkan sebagai salah satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diterajui oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) melalui MYStartup, persidangan mikro yang berlangsung selama sehari itu mengetengahkan pelbagai peluang yang belum diterokai oleh syarikat pemula di Pulau Pinang dalam pasaran baru muncul Asia Tenggara.
Dalam sesi sembang santai (fireside chat), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke menegaskan keyakinannya terhadap syarikat pemula Malaysia, menyatakan mereka bukan sahaja pemangkin pertumbuhan tetapi juga enjin kemajuan yang mampu menangani masalah dengan penyelesaian disruptif, mewujudkan pekerjaan, merangsang ekonomi, dan menarik pelaburan asing.
“Pulau Pinang, negeri yang dikenali sebagai ‘Silicon Valley of the East’, mempunyai potensi besar dengan kedudukannya yang kukuh dalam pembuatan semikonduktor, menempatkan beberapa syarikat gergasi cip global seperti Intel dan Nvidia.
"Setakat ini, Pulau Pinang menduduki tangga ketiga dalam jumlah syarikat pemula berdaftar dan jumlah pemohon, selepas Selangor dan Kuala Lumpur.
"Menerusi kerjasama dengan Digital Penang melalui MYStartup, kami berharap lebih banyak syarikat pemula teknologi tempatan dapat memanfaatkan platform Tetingkap Tunggal ini untuk berhubung dengan ekosistem, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming berkata, syarikat pemula di Pulau Pinang berada pada tahap memberangsangkan, mendapat manfaat yang besar daripada inisiatif kerajaan negeri yang telah memupuk persekitaran dinamik untuk inovasi dan pertumbuhan.
“Usaha bersama kami dengan MYStartup bukan sahaja memupuk ekosistem syarikat pemula teknologi yang mampan tetapi juga penting dalam menerajui transformasi digital Pulau Pinang ke arah merealisasikan visi kami sebagai Negeri Pintar menjelang 2030," katanya.
Selain sesi sembang santai, MYStartup NXT Penang juga menampilkan sesi spotlight, membawa pemimpin industri tempatan dan serantau untuk berkongsi pandangan mereka mengenai topik penting berkaitan pertumbuhan syarikat pemula, seperti pendanaan tahap awal (seed funding), pembangunan perniagaan, kerjasama strategik, dan sumber daripada kerajaan dan korporat.
Barisan ahli panel termasuk pakar daripada Cradle, Digital Penang, NEXEA, ADA Biotech, Niagawan Plus, Cyberview, Petronas Ventures, dan Allianz.
Selain itu, peserta juga berpeluang untuk mendalami topik pendanaan syarikat pemula semasa sesi ‘What’s Up Grant’ dan ‘Deal Hustlers’.
Sesi ‘What’s Up Grant’ mengetengahkan program pendanaan daripada Cradle, iaitu CIP Spark dan CIP Sprint, manakala sesi ‘Deal Hustlers’ mengatur dan memadankan hubungan antara pengasas dan pelabur seperti Artem Ventures, Farquhar Venture Capital, First Move dan NEXEA.
Diadakan untuk kali kedua di Pulau Pinang, MYStartup NXT Penang tahun ini menarik lebih daripada 160 peserta, terdiri daripada pengasas syarikat pemula, pelabur, rakan korporat dan ekosistem, serta pelajar universiti.
Sejak dilancarkan pertama kali pada 2022, persidangan mikro ini telah menjelajah ke lima negeri di seluruh negara, termasuk Selangor, Johor, Sabah, Sarawak, dan Pulau Pinang.
Setakat ini, MYStartup NXT telah menarik lebih daripada 2,600 penyertaan dan menampilkan lebih 100 tokoh berpengalaman dari pelbagai industri.
Diwujudkan untuk ekosistem syarikat pemula tempatan, NXT merupakan antara program pembangunan kapasiti di bawah MYStartup yang bertujuan menangani cabaran yang dihadapi oleh syarikat pemula di Malaysia dalam memasarkan produk mereka, merapatkan jurang antara idea inovatif dan kejayaan yang mampan.
Berikutan sambutan NXT tahun ini di Johor dan Pulau Pinang yang memberangsangkan, MYStartup akan meneruskan misi sebagai Tetingkap Tunggal Malaysia untuk membawa pemain ekosistem bersama-sama ke arah membina ekosistem syarikat pemula yang berprestasi tinggi, global, inklusif, dan mampan.
Sehubungan itu, MYStartup NXT berhasrat meluaskan jangkauannya dengan meneroka negeri-negeri berpotensi di wilayah Pantai Timur.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Tetingkap Tunggal untuk Ekosistem Startup Malaysia, lawati www.mystartup.gov.my. Pintu kepada peluang dan sumber untuk kejayaan syarikat pemula anda menanti. - DagangNews.com