Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan - Platform perdagangan kenderaan terpakai, myTukar melancarkan acara myTukar Auto Fair 2022, yang menghimpunkan lebih 1,000 kenderaan terpakai bermula hari ini hingga Ahad ini.
myTukar memaklumkan, acara berkenaan turut menawarkan aksesori daripada pelbagai pengeluar automotif terkemuka.
Katanya, pengunjung berpeluang mendapatkan nilai tukar beli kenderaan mereka dalam tempoh segera, kelulusan pinjaman pada hari sama serta membawa pulang kenderaan yang diinginkan.
"Khusus untuk tempoh tiga hari ini, pembeli kenderaan akan menerima manfaat seperti servis percuma selama dua tahun, lanjutan waranti satu tahun dan jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari.
"Pembeli turut menerima kadar faedah serendah 1.68 peratus dengan ganjaran bernilai lebih RM800,000 untuk dibawa pulang," katanya dalam kenyataan di hari ini.
Tambahnya, pengunjung yang menempah kenderaan di acara berkenaan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000.
Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Derrick Eng berkata, walaupun menumpukan operasi dalam talian, operasi luar talian juga penting bagi membolehkan pihaknya menyediakan pusat rujukan untuk menyemak kenderaan terpakai dan terkini, selain perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.
"Dengan melancarkan pameran auto pertama kami, kami ingin memberi peluang lebih ramai orang untuk merasai betapa mudahnya membeli kereta dengan myTukar.
"Kami mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap industri kereta terpakai, membuka jalan baharu untuk membeli dan menjual kereta terpakai," katanya.
Terdahulu, myTukar turut melancarkan pembukaan pusat pameran myTukar Retail Experience Centre yang terletak di Puchong South, Selangor serentak dengan pelancaran acara berkenaan.
Pusat pameran tersebut baharu dibuka kepada umum selepas pusat pameran dibuka di Skudai, Johor Bahru dan diikuti lokasi seterusnya di Seremban dan Melaka menjelang Mac tahun ini.
Ia merupakan pusat sehenti yang bakal menawarkan kemudahan seperti pameran kenderaan, sesi pandu uji, perkhidmatan pembelian, pusat pemeriksaan kenderaan serta khidmat selepas jualan. - DagangNews.com