myTukar buka 25 pusat pameran seluruh negara | DagangNews Skip to main content

myTukar buka 25 pusat pameran seluruh negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan - Platform jualan kereta dalam talian, myTukar mengembangkan operasi secara fizikal apabila membuka sebanyak 25 pusat pameran dan peruncitan di seluruh negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Derrick Eng berkata, usaha tersebut bertujuan menjadikan perjalanan pembelian dan penjualan kereta pelanggan lebih lancar.

 

Jelasnya, pusat pameran itu akan menampilkan barisan kereta terpakai dan terkini di pasaran. 

 

"Selain bilik pameran, kami turut melancarkan sebuah premis sebagai pusat sehenti untuk pelanggan. Kami berusaha untuk menginovasikan sektor peruncitan automotif dengan menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan kereta terpakai. 

 

"Perkhidmatan ini merangkumi semua aspek pemilikan kereta daripada pembelian kenderaan kepada perkhidmatan dan penyelenggaraan kereta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Eng, antara lokasi pusat pameran dan pusat sehenti myTukar, termasuk di Perak, Kedah, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Lembah Klang, Johor, Seremban dan banyak lagi.

 

"Melalui pengembangan ini, kami berharap dapat mewujudkan myTukar sebagai jenama komuniti, platform yang merangsang pertumbuhan industri kereta terpakai. Dengan adanya cawangan fizikal ini, kami dapat melayani pelanggan kami dengan lebih baik, memberikan mereka lebih banyak akses pelbagai jenis kenderaan berkualiti," katanya.

 

 

myt
Derrick Eng (kiri) bersama Pengasas dan Pengerusi myTukar, Fong Hon Sum (tengah) dan Ketua Jualan myTukar, Siew Weng Hou pada majlis pembukaan pusat pameran jenama tersebut di Skudai, Johor Bahru.

 

 

Beliau berkata, myTukar mengalami peningkatan sebanyak 15-20% dalam jualan kereta terpakai dan dijangka berkembang dengan pesat pada tahun ini. 

 

"Ini disebabkan faktor seperti kekurangan semikonduktor global yang memberi kesan kepada pengeluaran dan harga tinggi kereta baharu. Kami menyasarkan memanfaatkan peningkatan permintaan untuk kereta terpakai dan meluaskan jangkauan di luar talian dan dalam talian," katanya.

 

myTukar ialah pasaran dalam talian yang menawarkan rangkaian perkhidmatan komprehensif untuk semua aspek pemilikan kereta dengan lebih 4,000 penjual. 

 

Platform pembidaan digital jenama itu membolehkan pengguna membeli atau menjual kenderaan mereka dengan mudah. - DagangNews.com