myTukar, Genie Malaysia merekodkan pertumbuhan hasil yang kukuh | DagangNews Skip to main content

myTukar, Genie Malaysia merekodkan pertumbuhan hasil yang kukuh

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Ekosistem digital kereta terpakai Malaysia, myTukar dan Genie Malaysia mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh dan mampan.

 

Dalam satu kenyataan, myTukar berkata, mereka telah menjual hampir 6,000 kereta kepada pelanggan manakala perniagaan pukalnya berjaya menjual lebih 100,000 kereta bernilai lebih RM3 bilion menerusi 2,600 rangkaian pengedar.

 

Katanya, sejak ditubuhkan 2018, ia kini mempunyai 33 cawangan di seluruh negara, dua pusat pemulihan tercanggih dan lima bengkel dengan keupayaan selepas jualan.

 

Pengembangan firma itu di seluruh negara adalah sebahagian daripada matlamatnya untuk menyediakan pengalaman digital yang boleh dipercayai, bebas kerumitan dan digital apabila membeli dan menjual, membiayai, mendapatkan insurans dan perkhidmatan penyelenggaran kereta terpakai.

 

Pengerusi dan pengasas myTukar, Fong Hon Sum berkata, beliau memulakan myTukar untuk mengubah dan merevolusikan industri kereta terpakai di Malaysia.

 

"myTukar menyasarkan untuk menyuntik ketelusan, kelancaran dan ketenangan fikiran dalam industri dan untuk memanfaatkan teknologi bagi mendigitalkan industri lama selain dikawal selia dengan baik,” katanya.

 

mytukar

 

Syarikat-syarikat itu mendakwa bahawa semasa pandemik, kewangan mereka yang kukuh bukan sahaja membolehkan mereka mengekalkan jumlah pekerja mereka, tetapi juga menyaksikan perkembangan yang besar secara menyeluruh daripada 175 kepada 1,300 pekerja tempatan.

 

Genie Malaysia berada di landasan yang tepat dalam menjadi penyedia teknologi kewangan untuk kereta terpakai yang paling pesat berkembang di negara ini.

 

Katanya, ia telah mencapai pinjaman terkumpul sebanyak RM315 juta dan pinjaman tidak berbayar (NPL) sifar selain pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif. 

 

Sehingga kini, Genie Malaysia telah memproses lebih 3,000 permohonan, hasil daripada tawaran pemarkahan kredit yang dilancarkan dengan teknologi AI dan pinjaman digital yang lancar kepada pengedar serta pengguna kereta terpakai. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Genie Malaysia, Simon Chan berkata, pihaknya telah menjadikan pinjaman lebih bernilai dan lebih mudah untuk orang ramai yang mempunyai keperluan untuk memiliki kereta.

 

"Genie Malaysia disokong oleh kemudahan pembiayaan daripada sekurang-kurangnya sebuah bank domestik terkemuka, sekali gus memberi keyakinan tinggi terhadap model perniagaan kami, dan kami terbuka untuk menjalin kerjasama dalam membantu pihak bank memberi perkhidmatan yang lebih baik dan selamat buat komuniti yang kurang kelayakan," katanya.

 

myTukar dan Genie Malaysia telah berkembang menjadi antara penyumbang yang signifikan kepada masyarakat Malaysia serta ekonomi, disokong oleh barisan rakan kongsi dan pelabur tempatan yang stabil termasuk Sime Darby, DRB-Hicom anddan kira-kira 100 rakan kongsi pemegang saham peniaga tempatan. - DagangNews.com