myTukar sasar kutipan sumbangan RM1 juta untuk golongan memerlukan | DagangNews Skip to main content

myTukar sasar kutipan sumbangan RM1 juta untuk golongan memerlukan

PASUKAN myTukarCares menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Platform dagangan kereta terpakai digital, myTukar melancarkan kempen kutipan sumbangan #myTukarCares bagi menyantuni masyarakat kurang bernasib baik di dalam negara. 

 

Menerusi sasaran sumbangan lebih RM1 juta, kempen itu diwujudkan bagi menghulurkan bantuan kepada lebih 10,000 keluarga di seluruh negara yang mengalami cabaran kewangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Jeffrey Ong berkata, kempen itu dilancarkan bagi menyokong rakyat Malaysia yang terdesak memerlukan makanan dan barangan keperluan. 

 

“Bagi mencapai tujuan ini, hampir semua pendapatan yang dijana melalui transaksi myTukar akan disalurkan kepada rakan-rakan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami. 

 

“Kami juga akan menyumbangkan RM50 bagi setiap kereta yang dijual, dan RM100 bagi setiap kereta yang dibeli menerusi platform pembidaan kami. Setakat ini, kami telah berjaya mengumpul lebih RM100,000 sumbangan daripada pihak syarikat kami,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Bermula sejak Julai hingga hujung Ogos, myTukarCares merupakan kempen kerjasama antara myTukar, MyGroser, The Food Purveyor (TFP), serta beberapa NGO lain. 

 

Antara NGO yang terlibat adalah Free Makan, Making Orang Asli Mother’s Independent (MOAMI), Seri Jayanti Welfare Organisation, Pejabat Adun Kampung Tunku, The Hope Branch, Care & Share Circle (kumpulan sukarela), dan Dignity for Children Foundation. 

 

Menerusi kempen ini, myTukar akan mengutip sumbangan melalui tiga saluran iaitu sumbangan daripada myTukar serta warga kerjanya, transaksi dijalankan melalui platform myTukar, serta sumbangan daripada rakan niaga dan pelanggan sedia ada.

 

Sebagai platform dalam talian yang menawarkan rangkaian perkhidmatan komprehensif bagi segala aspek pemilikan kereta, myTukar menghubungkan pembeli dan penjual di seluruh negara menerusi satu platform pembidaan digital yang membolehkan mereka menjual atau membeli kenderaan dari keselesaan rumah.

 

Dalam kerjasama berkenaan, MyGroser akan memberikan sokongan tambahan menerusi hasil sumbangan daripada pembelian baucar Malaysia, Together miliknya. 

 

Bagi setiap RM1 yang dibelanjakan, myTukar akan menyalurkan 20% sumbangan tambahan, dan kemudian bekerjasama dengan NGO seperti Free Makan untuk mengenal pasti keluarga yang memerlukan.

 

Sementara itu, sebagai pembekal makanan untuk kempen tersebut, TFP akan memastikan barang keperluan disampaikan kepada keluarga memerlukan.

 

Ditubuhkan pada tahun 2017, TFP merupakan rangkaian kedai runcit premium di seluruh Lembah Klang yang mengendalikan tiga jenama pasar raya terkemuka: Village Grocer, Ben's Independent Grocer (B.I.G.) dan Pasaraya OTK. - DagangNews.com