Nafas perkenal formulasi baharu baja tingkatkan hasil tanaman padi | DagangNews Skip to main content

Nafas perkenal formulasi baharu baja tingkatkan hasil tanaman padi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melaksanakan Program Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) dengan memperkenalkan baja sebatian formulasi baharu sebagai penggalak tambahan yang berjaya memberikan peningkatan hasil tanaman yang optimum sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah.

 

Nafas memaklumkan, projek yang diterajui pihaknya bersama syarikat subsidiari, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pemain industri, termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

 

Katanya, ia merupakan inisiatif bagi menyokong hasrat kerajaan dalam merangka Modul Tanaman Padi yang mampu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) padi dan beras negara dari 70 kepada 75%.

 

"MNFSB berfungsi sebagai kilang pengeluar baja sebatian untuk petani seluruh negara melalui skim baja subsidi kerajaan dan komited memastikan para petani mendapat baja yang terbaik bagi menjamin hasil tanaman padi.

 

"Selari dengan komitmen berkenaan, pakej input Nafas telah diperkenalkan dalam projek PTPB iaitu bahan perapi tanah Silgrow Plus, baja sebatian formulasi baharu dan baja penggalak tambahan Ultra K. 

 

"Kehadiran elemen mineral organik dan unsur surih berdasarkan cadangan MARDI merupakan satu nilai tambah dalam formulasi khas baja sebatian dalam projek ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut kenyataan itu, siri input Nafas dalam PTPB ini secara tidak langsung dapat membuktikan hasil formulasi baharu ini memberi impak yang optimum dalam penghasilan padi.

 

 

nafas

 

 

Katanya, projek sulung di Kampung Nam Dam, Pendang melibatkan 68 pesawah ahli Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan Kubur Panjang melibatkan 70 hektar kawasan penanaman padi.

 

"Dengan kaedah dan SOP penanaman PTPB, purata hasil pengumpulan bagi satu musim ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7 tan metrik per hektar berbanding 2.95 tan metrik per hektar yang terhasil pada musim-musim sebelum ini.

 

Sementara itu, MARDI turut komited dalam kerjasama strategik penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Nafas dalam usaha penambahbaikan formula baja yang baharu serta menyokong hasrat Nafas untuk memberikan yang terbaik kepada pesawah terutamanya berkaitan baja dan benih padi.

 

MARDI dan Nafas sebagai institusi yang menjadi antara tulang belakang bagi sektor pertanian pastinya akan sentiasa berada dalam barisan hadapan serta bersedia untuk melaksanakan perubahan mengharungi cabaran dalam memastikan industri pertanian terus proaktif dan seiring dengan perkembangan teknologi semasa. - DagangNews.com