Naim Holdings jual 2 bidang tanah bernilai RM340 juta | DagangNews Skip to main content

Naim Holdings jual 2 bidang tanah bernilai RM340 juta

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Syarikat pemaju di Sarawak, Naim Holdings Berhad (Naim Holdings) menerusi anak syarikatnya, Petrochemical Hub Sdn. Bhd. (PHSB) telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dua bidang tanah jenis pembangunan dengan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC). 

Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua tanah berukuran 405.6 hektar berkenaan yang terletak di daerah Bintulu, Sarawak bakal dijual dengan nilai RM340 juta, selepas diskaun 15% daripada harga pasaran, RM400 juta. 

Naim Holdings menerusi pengumuman syarikat Bursa Malaysia berkata, penjualan tanah itu didorong oleh penggunaan terhad bagi tujuan pembangunan di atas tanah itu dan sentimen pasaran hartanah Malaysia yang mempunyai lebih banyak penjual daripada pembeli selepas ekonomi terjejas akibat COVID-19. 

“Penjualan tanah itu membolehkan syarikat Naim Holdings untuk segera meningkatkan nilai syarikat dan mengewangkan (monetise) pelaburan di tanah-tanah berkenaan pada anggaran keuntungan bersih sebanyak RM110.17 juta.

“Penjualan tanah itu dijangka selesai pada suku keempat 2020 dan berdasarkan anggaran keuntungan bersih selepas penolakan kos, ia dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan Kumpulan Naim pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020,” kata syarikat itu. 

Kedua-dua tanah itu terletak antara PTT Exploration and Production Public Co Ltd (PTTEP) dan jalan menuju ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (“PLKN”) Similajau serta di selatannya terdapat saluran paip Sabah-Sarawak. 

Sebanyak RM34 juta telah dibayar sebagai deposit selepas pelaksanaan SPA dan selebihnya berjumlah RM306 juta akan dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh pemberitahuan bertulis oleh PHSB kepada SEDC menerusi pengeluaran Borang L.

Tambah Naim Holdings, hasil daripada penjualan tanah itu akan digunakan bagi pembayaran balik bank sebanyak RM117 juta, dividen kepada pemegang saham (RM90 juta), modal bekerja bagi aktiviti pembangunan hartanah (RM75 juta), pelaburan modal (RM15 juta) dan perbelanjaan lain berhubung penjualan tanah itu (RM43 juta).

Sementara itu, SEDC merupakan badan berkanun milik kerajaan negeri di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak Ordinance (Sarawak Cap. 35) yang bertujuan mempromosi komersial, industri, dan pembangunan sosioekonomi Sarawak. 

SEDC dipertanggungjawabkan untuk merancakkan pembangunan dan pembinaan kilang metanol besar di Kidurong, Bintulu termasuk hab petrokimia yang dicadangkan untuk memenuhi pertumbuhan industri hiliran di kawasan itu. - DagangNews.com