Naim Holdings jual tanah 180 hektar di Samarahan bernilai RM223 juta | DagangNews Skip to main content

Naim Holdings jual tanah 180 hektar di Samarahan bernilai RM223 juta

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - Naim Holdings Berhad (Naim Holdings) menjual tanah miliknya seluas 180.8 hektar dekat Samarahan, Sarawak kepada Onlyee Flora Sdn. Bhd. pada harga bernilai RM223.38 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Naim Land Sdn Bhd telah memasuki perjanjian jual beli bersyarat dengan Onlyee Flora.

 

"Pelupusan tanah tersebut terletak di Sungai Sajiram/Sungai Kuap, Sungai Merdang, Samarahan dan diterangkan sebagai Lot 5234 Blok 25 Daerah Tanah Muara Tuang dengan pertimbangan tunai sebanyak RM223.38 juta," katanya.

 

Menurut Naim, nilai pasaran tanah tersebut adalah sebanyak RM215 juta seperti yang dinilai oleh penilai bebas, VPC Alliance (Sarawak) Sdn. Bhd.

 

Katanya, dijangka nilai pertimbangan pelupusan kira-kira 4% lebih tinggi daripada nilai pasaran iaitu sebanyak RM215 juta dan harga tawaran sebanyak RM223.38 juta itu dianggap adil dan berpatutan.

 

Tempoh pemilikan tanah tersebut ialah 99 tahun berakhir 15 Januari 2112 dan kategori tanah berkenaan ialah tanah zon bercampur.


 
"Kos asal pelaburan tanah tersebut adalah RM23.15 juta yang diperoleh kira-kira 16 tahun lalu pada 29 Mei 2008," jelasnya

 

Katanya, syarikat mungkin menggunakan hasil yang akan diterima daripada cadangan pelupusan antaranya bertujuan pembayaran balik sebahagian daripada pinjaman bank sedia ada Kumpulan Naim sebanyak kira-kira RM67.5 juta.

 

"Selain itu, ia akan digunakan untuk modal kerja, termasuk anggaran perbelanjaan dan cukai yang berkaitan untuk cadangan pelupusan, sebanyak RM155.88 juta.

 

"Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, syarikat akan menyemak semula cadangan penggunaan hasil di atas dan mungkin mengubahnya di mana perlu untuk menyokong keperluan operasi perniagaan pada masa yang berkenaan," ujarnya.- DagangNews.com