Najib gesa kerajaan siasat Tommy Thomas, isu salah guna kuasa | DagangNews Skip to main content

Najib gesa kerajaan siasat Tommy Thomas, isu salah guna kuasa

Foto: Facebook Najib Razak
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan hari ini menyiasat sekiranya wujud salah guna kuasa ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

 

Najib menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata, gesaan itu timbul berikutan pertanyaan beliau kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan isu kes anak taikun yang disyaki menanam berpuluh pokok ganja pada 2019.

 

"Semalam saya tanya Tun Mahathir berkenaan komen beliau berhubung isu hangat mengenai kes anak taikun yang disyaki menanam berpuluh pokok ganja digugurkan ataupun dikurangkan tuduhan dadah, tapi Tun tidak menjawab.

 

"Tan Sri Tommy Thomas (bekas peguam negara) telah membalas secara rasmi bahawa dia tidak mengaku menerima suapan untuk gugurkan kes, tetapi dia mengesahkan dia cuma kurangkan tuduhan terhadap anak taikun tersebut.

 

"Hari ini saya tanya lagi Dr. Mahathir bin Mohamad, Tommy Thomas dan juga peguam negara hari ini. Kenapa tuduhan dikurangkan seperti diakui Tommy dan tuduhan tersebut telah dikurangkan dari seksyen apa ke seksyen mana? Apa telah terjadi bagi kes tahun 2019 ini?," soalnya.

 

Najib turut bertanya tentang jenis bentuk hukuman dikenakan ke atas anak taikun berkenaan setelah tuduhan dikurangkan oleh bekas peguam negara itu.

 

"Apa hukuman yang telah dikenakan ke atas anak taikun berkenaan setelah tuduhan dikurangkan oleh Tommy sedangkan orang biasa yang juga didapati menanam 16 ataupun 20 buah pokok ganja telah dihukum penjara seumur hidup atau menghadapi tali gantung?

 

 

najib
Datuk Seri Najib Tun Razak

 

 

"Adakah kerajaan hari ini patut siasat sekiranya wujudnya salah guna kuasa ketika pentadbiran kerajaan PH dan PN masa itu?," katanya. - DagangNews.com