Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba bersama Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad ketika melancarkan Motosikal Elektrik Eclimo ES-11 hari ini.
KUALA LUMPUR 9 Dis - NanoMalaysia Bhd. dan Eclimo Sdn. Bhd. hari ini melancarkan kenderaan elektrik 2 roda buatan Malaysia, Motosikal Elektrik Eclimo ES-11.
Dikenali sebagai ES-11, kenderaan ini dilengkapi dengan Bateri Berstruktur Nano dan Sistem Pemantauan oleh NanoMalaysia.
Perkongsian kerjasama antara NanoMalaysia dan Eclimo telah menghasilkan motosikal elektrik peneraju industri yang dipasang dengan sistem pengurusan dan pemantauan bateri (BMS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, melalui Rancangan Malaysia Ke-11, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui NanoMalaysia telah menyediakan pembiayaan kepada Eclimo sebanyak RM1 juta untuk membangunkan ES-11 yang mempunyai sistem pemantauan bateri berstruktur nano ini.
Katanya, dalam Bajet 2022 juga, kerajaan komited dalam menyokong industri EV dengan mengecualikan duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi semua kenderaan EV.
Bukan itu sahaja, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 akan diberikan bagi kos pembelian, pemasangan, penyewaan kemudahan sewa beli serta bayaran melanggan kemudahan mengecas EV.
"MOSTI menerusi NanoMalaysia juga masih dalam perancangan untuk menyediakan ES-11 sebagai mod pengangkutan dalam bandar kepada orang umum melalui proses sewaan seperti sistem aplikasi Beam dan Tryke yang membolehkan pengguna menyewa skuter menerusi aplikasi.
"Bukan itu sahaja, pihak kementerian juga percaya pelancaran ES-11 dapat membantu usaha negara bagi menyertai industri EV yang bernilai berbilion ringgit untuk membantu memulihkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran ES-11 hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad.
Motosikal ES-11 mempunyai sistem pengecas palam 3 pin yang tidak memerlukan stesen pengecas yang khusus.
Ini memberikan kemudahan dan penyelesaian kepada masalah kekurangan infrastruktur pengecas
yang menyokong penggunaan EV.
BMS membolehkan pemantauan mudah untuk keadaan bateri individu dan sistem ini turut menghantar peringatan apabila voltan bateri menurun.
Motosikal ini turut memiliki sistem penjejak dan geobatas yang boleh diuruskan melalui aplikasi mudah alih. Sistem ini merupakan contoh penggunaan Internet Pelbagai Benda Nano (IoNT) atau peranti nano tersambung dalam sektor rendah karbon atau mobiliti elektrik.
ES-11 kini telah melalui ujian berskala komersial bagi perkhidmatan penghantaran makanan, barangan runcit, produk perubatan serta bungkusan e-dagang.
Ia juga berada di pasaran melalui model perniagaan sewa di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Ketika ini, terdapat 58 unit ES-11 yang telah dibina dan 41 unit telah disewakan kepada rakan-rakan industri.
Sementara itu, Rezal Khairi berkata, ES-11 dibangunkan dan dibuat sepenuhnya di Malaysia, justeru, kelebihan ini akan mewujudkan rantaian bekalan tempatan yang bernilai tinggi.
Selain itu, katanya, ia juga memberi keupayaan untuk merebut pasaran kenderaan elektrik (EV) lain yang sedang berkembang seperti Indonesia menerusi matlamat mobiliti elektrik yang jelas.
"Negara jiran kita mempunyai permintaan kenderaan 2 roda yang tinggi dan sedang mencari peluang untuk mengguna pakai motosikal elektrik pada kadar yang cepat.
"Jualan kenderaan dua roda di Indonesia dijangka mencapai 6.4 juta unit menjelang 2030 dengan 1.9 juta unit terdiri daripada motosikal elektrik.
"Oleh demikian, Malaysia perlu mengekalkan kelebihan teknologi dan inovasi sekurang-kurangnya dalam kalangan negara ASEAN dan memiliki kelebihan pasaran niche dalam komponen EV bernilai tinggi yang dipertingkatkan dengan nanoteknologi," katanya. - DagangNews.com