NEC raih subkontrak bangunkan Sistem Bersepadu Imigresen Kebangsaan | DagangNews Skip to main content

NEC raih subkontrak bangunkan Sistem Bersepadu Imigresen Kebangsaan

Pemasangan model e-Gate ketika majlis penyerahan subkontrak antara IRIS Corp. dan NEC Malaysia.

KUALA LUMPUR 18 Okt - NEC Corp. of Malaysia Sdn. Bhd. (NEC Malaysia) menerima subkontrak bagi membangunkan Sistem Bersepadu Imigresen Kebangsaan (NIISe) daripada IRIS Corporation Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, IRIS Information Technology Systems Sdn. Bhd. (IITS).

 

NIISe merupakan inisiatif Kementerian Dalam Negeri untuk memodenkan Jabatan Imigresen Malaysia dengan teknologi digital termaju.

 

Subkontrak yang diperoleh itu membabitkan pelaksanaan Sistem Pengenalan Biometrik Automatik (NEC ABIS) dan Penyelesaian Kawalan Sempadan (e-Gate). 

 

 

nec
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IRIS Corp., Shaiful Zahrin Subhan (kanan) ketika menyerahkan subkontrak membabitkan ABIS dan e-Gate kepada Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi, hari ini.

 

 

Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi berkata, dengan teknologi biometrik termaju di pusat pemeriksaan imigresen, rakyat Malaysia dan pelancong ke negara ini akan melalui kualiti perjalanan yang ditambahbaik.

 

Katanya, teknologi biometrik juga akan meningkatkan keselamatan dan kecekapan di samping memberikan pelancong pengalaman yang selamat dan lancar apabila melalui e-Gate di pusat pemeriksaan imigresen.

 

"Kami yakin NEC ABIS, sebagai komponen penting kepada NIISe akan menyediakan pemprosesan yang berkesan dan cekap bagi semua transaksi berkaitan untuk Jabatan Imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

NEC telah melaksanakan lebih 1,000 sistem dengan cap jari dan teknologi pengecaman mukanya di lebih 70 negara dan wilayah, termasuk sistem untuk kira-kira 50 lapangan terbang di seluruh dunia.

 

Teknologi biometrik NEC menggunakan cap jari, iris dan pengecaman muka untuk mengesahkan identiti pelawat dan rakyat Malaysia di pusat pemeriksaan imigresen udara, laut dan darat.

 

Melalui NEC e-Gate, komponen Penyelesaian Kawalan Sempadan NEC akan digunakan di semua pusat pemeriksaan imigresen supaya penumpang menikmati perjalanan yang lebih lancar. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IRIS Corp., Shaiful Zahrin Subhan berkata, sebagai rakan kongsi teknologi, NEC telah memberikan maklum balas dan idea yang tidak ternilai semasa perbincangan awal dan membantu mengenal pasti titik yang berpotensi dalam memodenkan sistem imigresen.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan NEC dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan dalam sistem imigresen di negara ini," katanya. - DagangNews.com