Nectar Consortium perkenal Aplikasi Pengurusan Ladang Digital | DagangNews Skip to main content

Nectar Consortium perkenal Aplikasi Pengurusan Ladang Digital

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Nectar Consortium memperkenalkan sistem pengurusan perladangan digital pintar universal bagi semua jenis ladang dalam usaha memastikan industri perladangan, pertanian dan pembuatan terus konsisten dan berdaya maju.

 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, inisiatif Nectar Consortoium dalam membangunkan Aplikasi Pengurusan Ladang Digital (DEMA) adalah langkah bijak dalam mengoptimumkan pengunaan internet kebendaan (IoT) kecerdasan buatan (AI).

 

Beliau berkata, aplikasi yang diperkenalkan itu diyakini dapat meningkatkan produktiviti, kualiti dan pendapatan petani kecil dan sederhana serta pengusaha selain syarikat-syarikat ladang negara. 

 

“DEMA mampu menjimatkan kos operasi antara 20% hingga 30% dan turut menyediakan modul semakan prestasi ladang 'real time' berdasarkan data yang telah di analisa secara automatik. 

 

"Usaha seperti ini dijangka dapat menarik minat anak muda untuk menyertai sektor perladangan pintar sekali gus meraih pendapatan lumayan dan pada masa sama sektor eko-pelancongan juga dapat ditingkatkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak tercetus Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) Nasional pada pertengahan 2016 melibatkan teknologi automasi, sektor pertanian dan perladangan rancak mengalami perubahan dan pihak kementerian komited meneruskan momentum positif itu agar ekonomi negara terus berkembang pesat.

 

mosti

 

Visi kerajaan mengenai IR4.0 itu konsisten dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu menggunakan teknologi efektif yang ditadbir oleh prinsip dan amalan ‘eco-vironmental’ yang inklusif dan adil.  

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Nectar Consortium, Ahmad Tarmizi Mukhtar berkata, DEMA juga mendapat sokongan daripada Maxis Berhad, Aurora Cloud, KATSANA dan Geutrebuck. 

 

"Penggunaan tekologi AI dan IoT membolehkan DEMA menyelesaikan pelbagai cabaran operasi syarikat perladangan sekali gus mempercepatkan proses penyampaian kepada pengguna akhir dengan efektif," katanya.

 

mosti

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Nipa Consortium, Datuk Shamsuddin Beka berkata, data daripada manusia digunakan untuk peralatan perladangan dan pertanian berfungsi dengan lebih baik seperti kerja pemantauan penyakit, perosak, pembajaan dan meracun hanya boleh dipantau dari rumah menggunakan telefon pintar. 

 

"DEMA mampu lakukan untuk kita. Saya dapat bayangkan, cara hidup kita masa depan akan bertambah baik dan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu dapat diwujudkan," katanya. - DagangNews.com