KUALA LUMPUR 19 Feb. - Negara-negara barat, khususnya Kesatuan Eropah (EU) harus menekankan prinsip-prinsip keadilan, ketelusan dan tidak mengamalkan diskriminasi dalam perdagangan minyak sawit.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, negara barat harus mempertahankan persaingan global yang sama rata dalam memperdagangkan komoditi terutama pengimportan minyak sawit sesuai dengan prinsip perdagangan bebas.
Beliau menyifatkan tindakan tidak adil terhadap minyak sawit seperti label produk 'Tanpa Minyak Sawit' akan mengelirukan dan memberi imej negatif kepada pengguna.
"Kita selalu membaca laporan negatif mengenai minyak sawit oleh badan bukan kerajaan (NGO) di Barat.
"Kempen negatif mereka mengaitkan penanaman sawit dengan penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti di Asia Tenggara.
"Barat tidak sepatutnya memperlekehkan minyak sawit bagi melindungi kepentingan minyak sayuran yang bersaing di pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Parveez menegaskan EU khususnya harus melihat kemajuan penting yang telah dicapai oleh Malaysia untuk pengeluaran minyak sawit yang mapan serta usaha untuk pemuliharaan hutan dan biodiversiti.
Dasar dan program untuk pemuliharaan dan inisiatif hijau juga sudah ada, katanya.
Malah, industri sawit Malaysia adalah salah satu sektor yang paling banyak dikawal dengan perundangan dan peraturan untuk memastikan pembangunan mapan dan pematuhan piawaian domestik dan antarabangsa.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga telah menubuhkan Dana Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia yang memberi fokus kepada aktiviti penanaman semula pokok hutan, mengurangkan konflik manusia-haiwan serta pemuliharaan biodiversiti.
Menurut beliau, Skim Persijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) yang dilancarkan pada 2015 dan diwajibkan pelaksanaannya mulai 1 Januari 2020 telah meningkatkan nilai minyak sawit Malaysia dengan meminimumkan jejak karbon industri.
"Industri sawit Malaysia komited untuk pengeluaran minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria yang ditetapkan oleh MSPO yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui amalan pertanian yang baik dan penggunaan bahan tanaman berkualiti.
"Skim ini juga menekankan kesejahteraan pekerja dan melindungi alam sekitar daripada kemungkinan pencemaran dan aktiviti yang bertentangan dengan perundangan nasional dan negeri," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan telah melaksanakan beberapa polisi utama pada 2019 yang mengehadkan kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar.
Ini termasuklah menghentikan penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut dan pelaksanaan peraturan penanaman sawit di tanah gambut dengan lebih ketat untuk memastikan pembangunan mampan industri sawit.
Kerajaan juga melarang penukaran kawasan hutan simpanan kekal untuk penanaman sawit dan menghebahkan peta penanaman sawit untuk makluman masyarakat.
"Usaha berterusan Malaysia meningkatkan pengeluaran minyak sawit yang mapan tidak dapat dicapai tanpa kerjasama dan komitmen daripada semua pihak berkepentingan termasuk negara-negara pengimport minyak sawit," ujarnya.
Ahmad Parveez menjelaskan, MPOB terbuka untuk pertukaran maklumat dan pandangan saintifik dengan negara-negara barat untuk mencari jalan yang saling menguntungkan dan memastikan pasaran minyak sawit Malaysia dapat diterima di luar negara.
Mengenai dakwaan beberapa syarikat perladangan sawit terlibat dengan buruh paksa, beliau berkata, terdapat salah faham mengenai budaya Malaysia dan amalan pengusaha ladang sawit di Malaysia terutama pekebun kecil berkaitan dengan isu buruh di ladang sawit.
"Kementerian dan MPOB giat melaksanakan siri jerayawara untuk memberi penerangan kepada pihak industri berkaitan guna tenaga di sektor perladangan, tafsiran buruh paksa dan buruh kanak-kanak," jelasnya.
Beliau menambah, Malaysia juga telah mengikuti langkah Indonesia melalui perundangan dengan membawa isu diskriminasi perdagangan minyak sawit global kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berkaitan peraturan EU yang mengehadkan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit di pasaran Eropah melalui European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II). - DagangNews.com