Negatif dengan prospek WCT, Kenanga Research semak turun pendapatan FY21-FY22 | DagangNews Skip to main content

Negatif dengan prospek WCT, Kenanga Research semak turun pendapatan FY21-FY22

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Kenanga Research menyemak turun anggaran pendapatan WCT Holdings Bhd. bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22 masing-masing sebanyak 31% dan 18% memandangkan pendapatan pembinaan kumpulan masih tidak menentu. 

 

Malah, penganalisisnya, Lum Joe Shen turut menurunkan anggaran margin bagi tempoh berkenaan berikutan risiko pendapatan seterusnya. 

 

"Sejajar dengan semakan ini, kami merendahkan harga sasaran kepada 62 sen daripada 63 sen sebelum ini. 

 

"Kami sebaliknya mengekalkan saranan 'market perform' bagi saham WCT," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Baru-baru ini, WCT mengadakan taklimat berhubung pengumuman laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 yang menyaksikan kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM35.23 juta berbanding untung bersih RM1.84 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ia merupakan kerugian kali ketiga dalam tempoh 2 tahun lalu dengan kali pertama merekodkan kerugian bersih sebanyak RM17,000 bagi tempoh suku pertama 2020 (sebelum perintah kawalan pergerakan - PKP dilaksanakan pada Mac).

 

Kumpulan kemudiannya merekodkan kerugian bersih kali kedua sebanyak RM227.67 juta pada suku keempat 2020 disebabkan pelaksanaan PKP dan kerugian tambahan menerusi usaha saham yang timbul daripada timbang tara akhir tidak menguntungkan. 

 

Joe Shen berkata, hasil daripada pembentangan itu bagaimanapun memberinya pandangan negatif memandangkan kumpulan mendedahkan margin pembinaan bagi 2 projeknya telah disemak turun. 

 

Sebelum ini, WCT menyemak turun semua kontraknya bagi 3 suku yang lalu dalam suku keempat 2020.

 

"Dengan kekerapan semakan menurun margin ini, kami menyimpulkan panduan kumpulan bagi margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 6 hingga 9% bagi pembinaan adalah terlalu menyakinkan dan kami tidak menolak berlakunya lagi penurunan semakan margin pada masa hadapan. 

 

"Sebagai contoh, pengurusan juga terlalu optimistik terhadap penambahan pembinaan dan sasaran jualan hartanah mereka yang ditetapkan tahun ini," tambahnya.

 

Setakat ini, WCT memperoleh penambahan kontrak bernilai RM1.12 bilion, yang mana ia di bawah sasaran pengurusan sebanyak RM2 bilion bagi tahun ini. 

 

"Perolehan ini masih dalam anggaran kami sekitar RM1.2 bilion. Namun, kumpulan memberi panduan meskipun lebih banyak kontrak baharu tahun ini tetapi ia mungkin tersasar daripada jangkaan yang dibuatnya awal tahun ini," katanya. 

 

Bagi jualan hartanah pula, Joe Shen berkata, kumpulan kini menetapkan sasaran baharu sebanyak RM480 juta memandangkan jualan direkodkan setakat akhir November adalah berjumlah RM455 juta, masih jauh di bawah sasaran awal kumpulan sebanyak RM1 bilion. 

 

Setakat 11.37 pagi ini, harga saham WCT susut 2.5 sen atau 4.42% kepada 54 sen dengan 1.83 juta saham diniagakan. - DagangNews.com