Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Nov. - MIDF Research dan CGS-CIMB Research masing-masing membuat penarafan ‘neutral’ dan ‘kurangkan’ terhadap saham Affin Bank Berhad.
Saranan itu dibuat berdasarkan jangkaan kedua-dua firma penyelidik berkenaan ke atas perolehan dan pendapatan faedah bersih serta tanpa faedah Affin Bank.
Bagi MIDF, peruntukan Affin Bank yang disebabkan oleh impak COVID-19, berterusan mengheret perolehan syarikat.
MIDF menjangkakan peruntukan yang meningkat akan berterusan sehingga separuh kedua tahun kewangan 2020 (2H20) selain mengambil kira kesan moratorium pinjaman yang telah berakhir.
“Bagaimanapun, kami tidak melihat ini semuanya negatif memandangkan kumpulan syarikat itu sedang memperkukuh liputan kerugian hutang (LLC).
“Dalam pada itu, kami menjangkakan pendapatan tanpa faedahnya akan mengimbangi peningkatan peruntukan,” kata MIDF dalam nota kajiannya.
Affin Bank mencatatkan perolehan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020 (9M20) di bawah jangkaan MIDF, merosot sebanyak -34.5% berbanding tempoh sama pada tahun lalu ekoran peruntukan dan perbelanjaan operasi tinggi.
“Melihatkan peruntukan dan perbelanjaan operasi lebih tinggi, kami merendahkan ramalan perolehan Affin Bank sebanyak -19.2%,” tambah MIDF.
MIDF mengekalkan sasaran harga (TP) saham Affin Bank sebanyak RM1.57.
Dalam nada sama, CGS-CIMB pula menurunkan TP kumpulan syarikat itu kepada RM1.34.
“Kami kekalkan saranan ‘kurangkan’ saham Affin Bank berdasarkan pendapatan faedah bersih yang lemah dan lonjakan peruntukan kerugian hutang.
“Dalam pada itu, kami melihat risiko kredit lebih tinggi akibat penularan COVID-19 berbanding pesaingnya memandangkan nisbah hutang terjejas kasar setakat September 2020 sebanyak 2.9%, melebihi paras industri iaitu 1.4%.
“Saranan ini mungkin berubah sekiranya peruntukan kerugian hutang ditingkatkan pada suku keempat 2020 (4Q20) dan tahun kewangan 2021 (FY21),” kata CGS-CIMB dalam nota kajian berbeza.
CGS-CIMB lebih memilih Public Bank Berhad dari segi penilaian dan risiko dalam sektor itu. - DagangNews.com