ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Jan - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan salah laku dan jenayah rasuah pengurusan tertinggi Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Ahli Lembaga Pengarahnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
NGO terbabit mendakwa, mempunyai bukti kukuh dan tidak menafikan salah laku ini turut membabitkan ahli politik berjawatan penting dalam kerajaan.
Wakil NGO berkenaan, Syahmi Rosli berkata, siasatan perlu disegerakan oleh pihak SPRM kerana banyak syarikat di negara ini menjadi mangsa, termasuk orang awam.
“Saya mahu SPRM segera menyiasat perkara ini. Kita tidak mahu integriti dan imej SC tercalar kerana isu integriti serta jenayah rasuah seperti ini,” katanya yang membuat laporan tersebut di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Katanya, sebanyak tiga kes akan dirujuk iaitu kes pertama melibatkan anak membabitkan pengurusan tertinggi SC yang turut mendapat jawatan tertinggi di dalam syarikat yang disiasat oleh SC di mana siasatan tersebut ditutup oleh SC.
Memetik laporan Malaysia Today, Syami berkata, bagi kes kedua melibatkan konflik kepentingan ahli lembaga pengarah SC membabitkan saham bernilai RM28.2 juta yang mana ahli lembaga pengarah tersebut memiliki kepentingan di dalam syarikat yang mempunyai hubungan kerja dengan SC.
“Kes ketiga pula melibatkan pegawai-pegawai tinggi SC yang menerima rasuah sebagai balasan menutup kes siasatan SC ke atas syarikat awam yang melakukan kesalahan insider trading.
“Kami adalah rakyat prihatin yang ingin memastikan agensi-agensi kerajaan bersih dan tidak digunakan untuk tujuan peribadi dan terlibat dengan rasuah,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai bukti dakwaan berkenaan, Syahmi berkata, segala bukti-bukti berkaitan kes itu hanya akan didedahkan kepada SPRM sahaja. - DagangNews.com