Ni Hsin meterai kerjasama dengan MYUS bagi promosi motosikal Ebixon di Perlis dan Langkawi | DagangNews Skip to main content

Ni Hsin meterai kerjasama dengan MYUS bagi promosi motosikal Ebixon di Perlis dan Langkawi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - Ni Hsin Group Berhad menerusi Ni Hsin EV Mobility Sdn. Bhd. memeterai perjanjian pengedaran induk bersama MYUS Autotech Sdn. Bhd. bagi mempromosi dan memasarkan motosikal Ebixon di Perlis dan Langkawi.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, sebagai pengedar utama, MYUS akan mempromosikan penjualan dan penyewaan motosikal Ebixon.

 

Katanya, operasi penyewaan akan berpusat di Jeti Kuala Perlis, lokasi tumpuan keluar masuk pengunjung dan pelancong ke Langkawi.

 

Sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025, pembukaan kedai sewa motosikal EV ini akan mempromosi dan memudahkan pengunjung dan pelancong meneroka serta menikmati keindahan Kuala Perlis dan sekitarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ni Hsin EV Mobility, Khoo Chee Kong berkata, selaras dengan pengiktirafan Perlis sebagai taman geologi,  promosi motosikal Ebixon juga membantu menyokong visi dan misi untuk meningkatkan pencapaian pencapaian mereka.

 

"Ini akan menggalakkan lebih ramai penduduk tempatan di Perlis dan pelancong menggunakan motosikal EV sebagai pengangkutan alternatif hijau di negeri Perlis dan Langkawi," katanya.

 

Pada tahun lalu, Ni Hsin EV Mobility bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Focus Applied Technologies Sdn Bhd (Focus), dan Dongguan Tailing Electric Vehicle Co Ltd (TAILG), bagi membantu Malaysia mempromosi mobiliti elektrik, terutamanya kenderaan dua dan tiga roda dalam persekitaran pengangkutan Malaysia.

 

Menerusi kerjasama itu, semua pihak komited untuk meneroka peluang membangunkan, menyokong, dan memperkayakan aktiviti penyelidikan, program pendidikan serta latihan dalam bidang kepakaran masing-masing, sekali gus mewujudkan manfaat sinergi untuk semua.

 

Selain itu, kumpulan itu juga turut bekerjasama dengan Boustead Holdings Berhad bagi promosi dan pemasaran motosikal elektrik Ebixon EV.

 

Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd menandatangani perjanjian ejen korporat tiga tahun untuk melantik unit milik penuh Boustead Technology Sdn Bhd sebagai ejen korporat untuk mempromosikan, memasarkan, menjual dan mengedarkan Ebixon EV secara eksklusif dalam tenaga kerja dalaman Boustead. - DagangNews.com