Niche Capital Emas dapat kelulusan operasi lombong emas di Tanah Merah, Kelantan | DagangNews Skip to main content

Niche Capital Emas dapat kelulusan operasi lombong emas di Tanah Merah, Kelantan

KUALA LUMPUR 19 Sept - Niche Capital Emas Holdings Bhd mengumumkan telah menerima kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan untuk memulakan operasi perlombongan batuan keras di daerah Tanah Merah.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perhiasan itu berkata, kelulusan ini melibatkan kawasan seluas 547 hektar yang membenarkan mereka mengendalikan lombong berkenaan selama dua tahun sehingga 12 Ogos 2026.

 

Niche Capital Emas berkata, ia akan meneruskan pembinaan kemudahan pengolahan heap leach pertamanya di Sokor Utara, dan menjangkakan untuk memulakan pengoperasian penuh pada suku keempat 2024.

 

Perlombongan batuan keras biasanya bagi mendapatkan logam, seperti bijih yang mengandungi emas, perak, besi, tembaga, zink, nikel, timah, dan plumbum.

 

Kelulusan terkini ini menyusuli kelulusan Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Mac untuk laporan penilaian impak alam sekitar bagi pembangunan kemudahan pemprosesan perlombongan emas di lokasi tersebut, diikuti oleh "tiada bantahan terhadap pelaksanaan pelan pengurusan alam sekitar" daripada JAS Kelantan pada bulan Ogos.

 

Perkembangan terkini ini datang hampir tiga tahun selepas anak syarikat milik penuh Niche Capital, Pembangunan Maju Setia Sdn Bhd, memeterai usaha sama dengan Spate Precious Metals Sdn Bhd untuk projek perlombongan emas, di mana Niche Capital berhak menerima 70% daripada keuntungan projek perlombongan, manakala Spate Precious akan menerima 30% yang selebihnya.

 

Menurut surat pekeliling diversifikasi Niche Capital kepada pemegang saham pada Jun 2021, Spate Precious dilantik sebagai kontraktor perlombongan untuk lokasi Sokor Utara oleh Jayamas Mining Sdn Bhd, yang seterusnya dilantik oleh Yayasan Kraftangan Kelantan. 

 

Jayamas telah memperoleh hak perlombongan daripada kerajaan negeri Kelantan pada tahun 2018.

 

Niche Capital telah mengalami kerugian selama enam tahun kewangan yang lalu. Untuk tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2024 (FY2024), kerugian bersih Kumpulan itu melebar kepada RM12.4 juta, daripada RM6.59 juta pada FY2023. 

 

Pendapatan pula jatuh 24.74% kepada RM22.13 juta daripada RM29.4 juta. Ini terutamanya disebabkan oleh segmen perlombongan dan perniagaan lain yang mengalami kerugian yang lebih besar yang mengimbangi keuntungan yang lebih baik daripada segmen pembinaan dan perkhidmatan.

 

Menurut data Bloomberg, pemegang saham terbesar Niche Capital adalah Pang Lin dengan pegangan 16.54%, diikuti oleh pengarah eksekutif dan ketua pegawai eksekutif Julian Foo Kuan Lin (14.52%). - DagangNews.com