Nikmati durian di segenap sudut 'Unicorn 4 Season Durian Hotel & Café' | DagangNews Skip to main content

Nikmati durian di segenap sudut 'Unicorn 4 Season Durian Hotel & Café'

 Ronald Kiandee (kanan) bersama pihak pengurusan Unicorn Four Season Durian Hotel & Café menunjukkan produk hiliran yang turut disediakan kepada pengunjung dan tetamu yang hadir.

Ronald Kiandee (kanan) bersama pihak pengurusan Unicorn Four Season Durian Hotel & Café menunjukkan produk hiliran yang turut disediakan kepada pengunjung dan tetamu yang hadir.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Penggemar raja buah atau buah durian di Malaysia boleh menikmati dan merasai kenikmatan buah tersebut di sebuah hotel yang dilancarkan khas dengan nama Unicorn Four Season Durian Hotel & Café.

 

Terletak di ibu kota Kuala Lumpur, hotel tersebut menjadi hotel pertama yang membenarkan pengunjung atau tetamu menikmati buah durian di setiap sudut ruangan hotel hingga ke bilik tidur.

 

Pengasas hotel tersebut, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, pengunjung yang datang boleh menikmati durian yang disediakan sepanjang masa tanpa mengira musim.

 

Lee Kim Yew
Lee Kim Yew 

 

"Bekalan durian akan sentiasa ada di hotel ini yang dibekalkan oleh para petani tempatan.

 

"Mana-mana petani tempatan boleh menjual dan membekalkan durian yang berkualiti kepada kami.

 

"Durian berkualiti yang dibeli daripada petani ini akan dibekukan untuk para tetamu hotel. Kita ada teknologi sejuk beku. Selepas empat jam durian itu dikopek, ia masih baik seperti durian segar. Itu yang saya janjikan," katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Unicorn Four Season Durian Hotel & Café hari ini.

 

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

 

Barisan tetamu kehormat yang hadir dalam majlis perasmian Unicorn Four Season Durian Hotel & Café.
Barisan tetamu kehormat yang hadir dalam majlis pelancaran Unicorn Four Season Durian Hotel & Café hari ini.

 

Unicorn Four Season Durian Sdn. Bhd. (Four Season Durian) turut melancarkan Kelab Petani 'Farmer Club' bagi membantu para petani dalam aspek penanaman dan kemudahan industri durian.

 

Selain itu, Four Seasons Durian juga melancarkan 'Durian Merchandise Cross-Border Market Place' dengan menggunakan teknologi 'blockchain' yang merupakan sebuah aplikasi untuk memudahkan urusan berkaitan pemasaran durian.

 

Aplikasi tersebut bukan sahaja membantu memudahkan pengguna industri untuk memasarkan produk masing-masing, malah turut membolehkan pelanggan membeli dan memiliki pokok durian di Gua Musang atau Raub sekali gus melakukan jualan dalam persekitaran yang lebih terjamin.

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) turut terlibat dalam menjayakan aktiviti jelajah festival industri durian secara tahunan bersama pihak hotel kepada syarikat, produk dan pemain industri cemerlang yang akan dicalonkan dan diberi penganugerahan dalam festival tersebut.

 

Mengulas berkaitan pelancaran hotel tersebut, Ronald Kiandee berkata, Malaysia berbangga mempunyai sebuah hotel yang memberi keizinan kepada tetamu untuk membawa dan menikmati durian dalam ruang bilik hotel.

 

"Tentu sekali ia akan menggalakkan pertumbuhan industri buah-buahan tempatan terutamanya durian. 

 

"Dan tentu sekali potensi buah ini akan menjadi lebih kehadapan dengan pembukaan hotel seperti ini.

 

"Kita lihat mereka (hotel) bukan sahaja terhad kepada buah durian segar, tetapi terlibat dalam industri hiliran durian seperti aiskrim, kek dan beberapa produk lain yang berasaskan durian," tambah beliau. - DagangNews.com