Nilai ambang kenaan levi dinaikkan untuk keuntungan luar biasa kelapa sawit | DagangNews Skip to main content

Nilai ambang kenaan levi dinaikkan untuk keuntungan luar biasa kelapa sawit

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt.- Kerajaan menerusi Bajet 2022 bersetuju menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit bagi semenanjung Malaysia kepada RM3,000 berbanding RM2,500.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit bagi Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM3,500 berbanding RM3,000 selain menyelaraskan kadar bagi kedua-dua negeri itu kepada 3% seperti mana kadar levi di Semenanjung Malaysia.

 

“Bagi menyokong industri kelapa sawit, kerajaan memperuntukkan RM35 juta bagi melaksanakan Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit PekebunKecil,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM20 juta juga disediakan untuk usaha menangani kempen antiminyak sawit di peringkat antarabangsa.

 

Beliau berkata, Program Transformasi Perusahaan Getah Negara akan dilaksanakan bertujuan menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang lebih besar agar mampu untuk memproses getah sekerap menjadi bentuk getah krip.

 

Kerajaan turut memperuntukkan RM2.5 bilion untuk terus memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi.

 

“Daripada jumlah ini, RM1.3 bilion disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi tujuan pakej pemulihan dan pembangunan peneroka, RM495 juta untuk manfaat peserta  Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) manakala RM699 juta untuk kemajuan pekebun kecil bagi perusahaan getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda),” katanya.

 

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan memperkenal dan memperluas penggunaan teknologi RRIM Hydrobest kepada pekebun kecil melalui geran padananbagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil kategroi B40. 

 

Katanya, kerajaan juga bersetuju meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh bagi meringankan beban sara hidup 320,000 pekebun kecil yang kehilangan pendapatan semasa musim tengkujuh dengan peruntukan berjumlah RM190 juta. 

 

Menurutnya peruntukan sebanyak RM5 juta juga disalurkan menerusi belanjawan tahun depan bagi perlindungan takaful kepada semua ahli peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladangan.-DagangNews.com