Nilai dagangan bon kerajaan naik kepada RM15.5 bilion minggu lepas - MIDF | DagangNews Skip to main content

Nilai dagangan bon kerajaan naik kepada RM15.5 bilion minggu lepas - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Nilai dagangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS/MII) meningkat kepada RM15.5 bilion pada minggu lalu berakhir 13 November 2020, kata MIDF Research.

Jumlah itu meningkat daripada RM13.6 bilion pada minggu sebelumnya, berdasarkan data oleh Bloomberg. 

“Jumlah nilai dagangan ke atas 10 terbitan bon paling aktif tidak berubah pada perbandingan minggu ke minggu iaitu pada kadar 63% daripada keseluruhan dagangan bon kerajaan. 

“Dalam pada itu, lima daripada 10 bon dagangan aktif menyaksikan kadar hasil lebih tinggi, disebabkan itu harga lebih rendah pada minggu lalu,” kata MIDF dalam laporan wang mingguan.

Sementara itu, jumlah nilai dagangan bagi bon korporat iaitu konvensional dan sukuk meningkat kepada RM1.43 bilion pada minggu lalu berbanding RM767 juta bagi minggu sebelumnya. 

“Tiga bon dagangan aktif teratas didominasi oleh terbitan baki tenor yang pelbagai.

“Nilai dagangan terbesar dilihat dalam Affin Islamic 5.05% 10/23/28 pada RM140juta, KL Kepong 4.58% 8/12/25 pada RM70 juta, dan Putrajaya Holdings 4.041% 10/25/22 pada RM6 juta,” tambah MIDF.

Dalam perkembangan lain, ringgit terus meningkat. 

“Ringgit terus mengukuh dan mengakhiri dagangan pada paras tertinggi sepanjang lapan minggu, ditutup pada RM4.123 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu.

“Peningkatan ini disokong oleh keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang bertambah baik diikuti oleh laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga 2020 (3Q20) yang menunjukkan ekonomi kian pulih,” jelas MIDF. 

Dalam pada itu, ringgit juga menerima manfaat daripada pilihan raya AS yang mendorong kepada peningkatan permintaan bagi mata wang pasaran sedang membangun selain pertumbuhan jangkaan bagi polisi dagangan lebih baik. - DagangNews.com