Nilai eksport sarung tangan getah 2021 diunjur cecah RM38 bilion | DagangNews Skip to main content

Nilai eksport sarung tangan getah 2021 diunjur cecah RM38 bilion

Sarung tangan getah

KUALA LUMPUR 15 Mac. - Nilai eksport sarung tangan getah negara dijangka mencecah RM38 bilion pada tahun ini.

 

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Dr. Supramaniam Shanmugam berkata, jangkaan yang dibuat itu dinilai kepada prestasi permintaan yang kekal tinggi di seluruh dunia.

 

"Unjuran itu adalah sekitar 7.6% lebih tinggi berbanding nilai eksport pada 2020 iaitu sebanyak RM35.3 bilion yang disumbangkan industri sarung tangan kepada eksport keseluruhan produk getah Malaysia berjumlah RM40.96 bilion.

 

"Meskipun wujud jangkaan penularan COVID-19 dapat ditangani menerusi program vaksinasi di seluruh dunia, pelbagai faktor akan mendorong permintaan kekal positif bagi produk sarung tangan getah.

 

"Jangkaan positif itu juga selaras dengan unjuran pertubuhan permintaan sarung tangan getah dunia yang dijangka berkembang secara organik dengan pertumbuhan antara 12% hingga 15% tahun ini, berbanding 25% ketika penularan pandemik dan 8% hingga 10% sebelum COVID-19," katanya dalam satu taklimat maya seperti dilapor Berita Harian.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, permintaan yang kekal tinggi didorong pelbagai faktor termasuk tahap kesedaran dalam penggunaan sarung tangan untuk kegunaan harian.

 

Selain itu, perubahan operasi korporat dan penggunaan mandatori dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan perniagaan juga mendorong penggunaan produk penjagaan kesihatan ini. 

 

Katanya, kadar dan perkembangan permintaan juga selaras dengan peningkatan populasi tua di seluruh dunia.

 

Pihaknya juga melihat pertumbuhan permintaan kekal dalam jajaran organik untuk tahun ini dan beberapa tahun akan datang merangkumi 12% hingga 15%.

 

Menyentuh berkaitan pelaburan, beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih RM3 bilion pelaburan baharu diperuntukkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sarung tangan getah.

 

"Banyak aspek yang akan dilihat peserta industri dalam meningkatkan pelaburan mereka. Selain daripada meningkatkan kapasiti pengeluaran, kami melihat penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi dan berkaitan buruh akan menjadi fokus utama pelaburan baharu," katanya lagi. - DagangNews.com