Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 April - Nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM108.0 bilion pada bulan Februari 2021, catat penguncupan -0.9% tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penguncupan tersebut disebabkan oleh Perdagangan Runcit yang jatuh -2.1%.
"Kenderaan Bermotor dan Perdagangan Borong juga menurun masing-masing -0.1%.
"Bagi indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit mencatatkan pertumbuhan -1.1% tahun ke tahun untuk mencapai 126.5 mata. Kejatuhan ini disebabkan penurunan -2.1% dan -1.0% masing-masing pada Perdagangan Runcit dan Kenderaan Bermotor.
"Perdagangan Borong turut merekodkan pertumbuhan negatif untuk mencatatkan 0.1%. Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 4.0% bulan ke bulan pada Februari 2021," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, perdagangan borong menjana jualan sebanyak RM52.6 bilion pada Februari 2021, turun RM0.03 bilion (-0.1%) berbanding bulan Februari 2020.
Katanya, jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran merosot -5.1%, Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong -4.3% dan Jual Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup -2.0% berbanding tahun sebelumnya.
"Bagi perbandingan antara bulan, jualan bagi subsektor ini menurun 5.1%.
"Indeks volum Perdagangan Borong mencatatkan 124.7 mata, merosot 0.1% tahun ke tahun. Pertumbuhan negatif ini direkodkan oleh Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (-5.8%), Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup (-5.4%) dan Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong (-4.6%).
"Indeks volum pelarasan musim pula menokok 2.0% bulan ke bulan," tambah beliau.
Dalam aspek perdagangan runcit pula, ia mencatatkan pertumbuhan jualan negatif 2.1% berbanding Februari 2020.
Indeks volum Perdagangan Runcit merekodkan pertumbuhan -2.1% kepada 138.5 mata berbanding Februari 2020.
Antara kumpulan yang menyumbang kepada pertumbuhan tersebut ialah Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Bahan Api Kenderaan (-14.6%), Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Lain (-7.0%) dan Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Kesenian & Rekreasi (-4.5%).
Sementara itu, nilai jualan subsektor kenderaan bermotor pula mencatatkan pertumbuhan negatif iaitu 0.1% tahun ke tahun.
"Penurunan ini didorong oleh Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor yang mencatatkan pertumbuhan -6.3% dan Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor -4.1%.
"Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 3.2%.
"Indeks volum Kenderaan Bermotor merosot -1.0% tahun ke tahun untuk mencapai 98.2 mata. Penurunan ini disumbangkan oleh Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor (-6.8%) dan Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor (-4.7%). Indeks volum pelarasan musim bagi subsektor ini menokok 21.0% bulan ke bulan," ujar beliau lagi. - DagangNews.com