Nilai jualan sektor pembuatan pada Mac, tertinggi selepas 44 bulan | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan pada Mac, tertinggi selepas 44 bulan

 

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malaysia merekodkan nilai jualan bagi sektor pembuatan pada Mac 2021 berjumlah RM126.9 bilion dengan berkembang 15.3%, tertinggi dalam tempoh 44 bulan. 

 

Prestasi itu didorong oleh peningkatan bagi produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain iaitu 34.2% diikuti elektrik dan elektronik (17%) serta makanan, minuman dan tembakau (14.9%). 

 

Sementara itu, berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 7.2%, menurut Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Mac  adalah seramai 2.23 juta, menurut 1.1% berbanding 2.26 juta bagi tempoh sama 2020. 

 

"Gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7.51 juta, meningkat 0.8% atau RM58.3 juta pada Mac 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya.

 

Nilai jualan per pekerja meningkat 16.5% kepada RM56,831 berbanding bulan yang sama 2020. 

 

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,364 pada Mac 2021.

 

Pada suku pertama 2021, nilai jualan merekodkan peningkatan 8.5% kepada RM368.2 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Bilangan pekerja dalam tempoh itu menurun 1.1% kepada 2.23 juta manakala gaji dan upah dibayar mencatatkan penurunan 0.6% kepada RM22.6 bilion. 

 

Nilai jualan per pekerja bagi tempoh rujukan meningkat sebanyak 9.7% kepada RM164,865. - DagangNews.com