Nilai kekayaan 50 rakyat Malaysia terkaya merosot 10%, pemilik Farm Fresh pula pertama kali sertai senarai Forbes | DagangNews Skip to main content

Nilai kekayaan 50 rakyat Malaysia terkaya merosot 10%, pemilik Farm Fresh pula pertama kali sertai senarai Forbes

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Jun - Nilai gabungan kekayaan taikun dalam senarai 50 rakyat Malaysia terkaya Forbes 2022 susut 10% berbanding tahun lalu kepada AS$80.5 bilion (kira-kira RM353.92 bilion).

 

Secara keseluruhan, 30 individu terkaya daripada senarai itu menyaksikan nilai kekayaan mereka merosot, menurut Forbes dalam kenyataan hari ini.

 

Sebahagiannya disokong oleh pemulihan dalam permintaan domestik, ekonomi Malaysia berkembang 5% pada suku pertama 2022, mengatasi krisis pandemik COVID-19 dan kesan banjir kilat pada Disember lalu.

 

"Walaupun pasaran saham merosot sedikit dalam tempoh 12 bulan lalu, tetapi ketidaktentuan mata wang menyaksikan ringgit jatuh 6%," katanya.

 

Berikut adalah senarai 10 rakyat Malaysia terkaya 

 

  1. Robert Kuok :  AS$11 bilion
  2.  Quek Leng Chan : AS$10.1 bilion
  3. Koon Poh Keong & adik-beradik : AS$6.2 bilion
  4. Teh Hong Piow :  AS$5.7 bilion
  5. Ananda Krishnan : AS$5 bilion
  6. Lee Yeow Chor & Yeow Seng : AS$4.8 bilion
  7. Chen Lip Keong : AS$2.7 bilion
  8. Tan Yu Yeh & Yu Wei : AS$2.4 bilion
  9. Lim Kok Thay : AS$2.35 bilion
  10. Lau Cho Kun : AS$2 bilion 

 

 

Robert Kuok
Robert Kuok


 

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Forbes, pengasas kumpulan Kuok, Robert Kuok masih mengekalkan kedudukan di tempat pertama meskipun kekayaannya susut kepada AS$11 bilion daripada AS$12.2 bilion tahun lalu.

 

Sebaliknya, Pengerusi Hong Leong Company (Malaysia), Tan Sri Quek Leng Chan meraih untung terbesar dari segi dolar dan mengukuhkan kedudukannya sebagai orang kedua terkaya di Malaysia dengan AS$10.1 bilion. 

 

Beliau turut menambah AS$500 juta kepada kekayaan bersihnya, menjadikannya kepada AS$9.6 bilion pada tahun lalu.

 

Koon Poh Keong dan adik-beradiknya, yang mengawal syarikat aluminium gergasi, Press Metal Aluminium Holdings Bhd., kekal di kedudukan ketiga dengan nilai kekayaan AS$6.2 bilion, hampir tidak berubah berbanding setahun lalu.

 

 

Koon Poh Keong
Koon Poh Keong . - Kredit gambar : Joshua Paul Gilbert

 

 

Melengkapkan kedudukan 5 teratas ialah pengasas dan pengerusi Public Bank Bhd., Tan Sri Teh Hong Piow (No. 4, AS$5.7 bilion) dan Ananda Krishnan (No. 5, AS$5 bilion), yang pegangannya termasuk kepentingan dalam syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd. dan penyedia perkhidmatan medan minyak, Bumi Armada Bhd.

 

Bagaimanapun, pembuat sarung tangan getah Malaysia, yang merupakan antara pemenang terbesar tahun lalu, menghadapi ujian realiti yang nyata.

 

Menurut Forbes, permintaan untuk peralatan perlindungan diri yang semakin berkurangan apabila wabak COVID-19 semakin reda, telah menjejaskan saham syarikat.

 

Ini menyaksikan kekayaan Kuan Kam Hon dari Hartalega Holdings Bhd. (No. 11, AS$1.9 bilion) dan Lim Wee Chai dari Top Glove Corp. Bhd. (No.14, AS$1.4 bilion), merosot paling banyak dari segi dolar.  

 

Pasangan suami isteri dari Supermax Corp. Bhd., Datuk Seri Stanley Thai dan Datin Seri Cheryl Tan (No.45) menyaksikan peratusan terbesar kejatuhan kekayaan mereka, yang menyusut lebih dua pertiga kepada AS$340 juta.

 

Malah, kekayaan terkumpul kumpulan ini termasuk Tan Sri Lim Kuang Sia dari Kossan Rubber Industries Bhd. (No.24, AS$740 juta) dan Wong Teek Son dari Riverstone Holdings (No.30, AS$565 juta), merosot lebih daripada AS$5.7 bilion. 

 

 

Loi Tuan Ee
Loi Tuan Ee

 

 

Forbes juga mendapati, penyenaraian Farm Fresh Bhd. pada Mac lalu, menyaksikan pemiliknya, Loi Tuan Ee (No. 43), berkongsi kekayaan bernilai AS$380 juta dengan dua adik-beradik, dan menyertai senarai itu buat kali pertama.

 

Syarikat tenusu itu, yang dimulakan oleh Tuan Ee dan abangnya, Tuan Kin pada 2007, mendapat sokongan daripada Khazanah Nasional Bhd. dan kini ia mempunyai 5 ladang tenusu di Malaysia dan 1 di Australia. - DagangNews.com