KUALA LUMPUR 10 Feb. - Nilai kerja pembinaan bagi suku keempat 2020 menguncup 14.2% kepada RM31.7 bilion berbanding -13.1% (RM31.4 bilion) pada suku ketiga.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, subsektor aktiviti pertukangan khas memacu pertumbuhan yang lebih tinggi pada 29.3% bagi suku berkenaan.
Katanya, 3 sektor lain iaitu subsektor kejuruteraan awam merosot 25% diikuti bangunan kediaman (-10.9%) dan bangunan bukan kediaman (-6.3%).
"Subsektor kejuruteraan awam kekal mendominasi nilai kerja pembinaan bagi 21 suku tahun berturut-turut sejak suku keempat 2015 dengan sumbangan 39.6%.
"Ini diikuti bangunan bukan kediaman (27.5%), bangunan kediaman (25.4%) dan aktiviti pertukangan khas (7.4%)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sektor swasta terus mendorong pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 55.7% atau RM17.7 bilion daripada jumlah nilai kerja pembinaan berbanding dengan sektor awam yang menyumbang 44.3% nilai kerja pembinaan iaitu RM14 bilion.
Mohd. Uzir berkata, pada 2020, nilai kerja pembinaan menguncup 19.4% kepada RM117.9 bilion berbanding RM146.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Semua subsektor mencatatkan penurunan dalam nilai kerja pembinaan yang mana subsektor kejuruteraan awam menguncup 24% diikuti bangunan kediaman (-17.2%), bangunan bukan kediaman (-17.1%) dan aktiviti pertukangan khas (-2.1%). - DagangNews.com