NIMP 2030: Nilai tambahan pembuatan dijangka berkembang 6.5% kepada RM587.5 bilion - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

NIMP 2030: Nilai tambahan pembuatan dijangka berkembang 6.5% kepada RM587.5 bilion - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di ibu negara pada 1 September 2023. - Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menyasar untuk meningkatkan nilai tokokan pembuatan sebanyak 6.5% kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, hasil daripada intervensi pelan induk tersebut bagi sektor berimpak tinggi.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor berimpak tinggi tersebut termasuklah elektrik dan elektronik (E&E), kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan farmaseutikal.

 

"Dari segi pekerjaan, pertumbuhan 2.3% dari 2023 diunjurkan. Ini susulan daripada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara bergerak ke arah aktiviti tokokan nilai tinggi dan peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran NIMP 2030, di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

Anwar juga berkata, kerajaan yakin strategi dalam NIMP 2030 akan membuahkan hasil yang bermakna dan memberi impak besar kepada ekonomi negara. 

 

Beliau berkata, fokus kedua-dua Ekonomi Madani dan NIMP 2030 diselaraskan untuk menambah baik kehidupan rakyat dengan jangkaan pulangan tinggi daripada sasaran ekonomi negara dan ini termasuk pekerjaan dengan gaji yang baik dan perkongsian kekayaan untuk membina masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera.

 

Perdana Menteri berkata, penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang penting untuk meningkatkan dan mengembangkan masyarakat kelas pertengahan dan transformasi kemahiran, yang ditetapkan sebagai fokus strategi perindustrian, adalah kunci untuk membangunkan kecekapan masa depan.

 

"Untuk memenuhi permintaan industri, kita akan melaksanakan sistem gaji progresif yang menggalakkan pembangunan kemahiran dan kemajuan kerjaya.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika pelancaran NIMP 2030 di ibu negara pada 1 September 2023. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kanan). - Gambar Bernama

 

 

"Kerjasama awam-swasta akan dipertingkatkan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), bagi memastikan pemerolehan kemahiran yang diperlukan oleh industri," katanya. - DagangNews.com