Nippon Paint mengaku cat VirusGuard boleh lawan Coronavirus Strain 229E | DagangNews Skip to main content

Nippon Paint mengaku cat VirusGuard boleh lawan Coronavirus Strain 229E

Nippon Paint VirusGuard

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Pembekal penyelesaian cat terkemuka Malaysia, Nippon Paint Malaysia (Nippon Paint) melancarkan produk cat terbaharunya yang memiliki kelebihan anti bakteria iaitu Nippon Paint VirusGuard.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Yaw Seng Heng berkata, produk terbaharu itu memiliki ciri tambahan ujian makmal yang mampu melawan hingga 99% coronavirus manusia (strain 229E).

"Produk ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan pengguna di Malaysia.

"Pelancaran inovasi cat baharu yang dipertingkatkan ini adalah tepat pada masanya ketika rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan norma baharu dan mengambil langkah berjaga-jaga di rumah dan tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cat Nippon Paint VirusGuard telah diuji dengan beberapa virus seperti coronavirus manusia, AATC VR-740, strain 229E oleh Analytical Lab Group awal tahun ini.

Yaw Seng Heng
Yaw Seng Heng

 

Hasil ujian tersebut, VirusGuard telah menunjukkan pengurangan sebanyak 99.9% pada titer virus selepas bersentuh pada lapisan cat.

Produk berkenaan turut menggunakan Silver Ion Technology yang terbukti berkesan mengurangkan pembiakan virus seperti penyakit tangan, kuku dan mulut, influenza A dan pelbagai penyakit lain.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Pemasaran, Wong Meng Lee berkata, dengan kelebihan ciri anti virus itu, pihaknya berhasrat untuk mewujudkan suasana kediaman dan tempat kerja yang sentiasa selamat dan kondusif.

"Nippon Paint VirusGuard memiliki ciri-ciri dan kelebihan seperti anti virus, anti bakteria, sebatian organik mudah meruap, mudah dibasuh, tahan sental, tahan kulat, warna tahan lama dan penyelenggaraan yang mudah.

"Produk itu juga merupakan penyelesaian cat mesra alam yang turut memiliki persijilan Ujian Label Hijau Singapura," tambahnya lagi. - DagangNews.com