Nor Fatihah perkenal konsep kafe perpustakaan pertama di Terengganu | DagangNews Skip to main content

Nor Fatihah perkenal konsep kafe perpustakaan pertama di Terengganu

Nor Fatihah Che Mamad menunjukkan hidangan Jepun yang terdapat di Zahon Cafe, Sungai Rengas, Kuala Terengganu, Terengganu.
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 13 Dis - Seorang usahawan wanita berani mengambil risiko untuk membuka sebuah kafe berasaskan makanan Jepun yang dilengkapi perpustakaan sebagai tarikan utama untuk pengunjungnya.

 

Pemilik Zahon Cafe, Nor Fatihah Che Mamad berkata, niatnya mahu mendidik masyarakat Terengganu agar menjadikan amalan membaca sebagai sebahagian budaya seperti yang dilakukan rakyat di negara Jepun.

 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti of Queensland, Australia itu berkata, dia juga mahu meneroka pasaran baharu perniagaan makanan kerana kebanyakan restoran atau kafeteria di Terengganu ketika ini lebih tertumpu kepada makanan dari negara Barat, Korea dan Timur Tengah sahaja.

 

"Alhamdulillah, hasrat saya untuk membuka Zahon Cafe ini mendapat restu dari keluarga yang sanggup melabur sejumlah wang sebagai modal permulaan.

 

"Semua resipi menu hidangan pula saya olah sendiri setelah mempelajarinya selama beberapa tahun dari kakak ipar yang berasal dari Jepun.

 

"Setakat ini sambutan dari pelanggan sangat memberangsangkan kerana menepati citarasa mereka apatah lagi menu makanan Jepun sangat mementingkan khasiat dan nutrisi yang berkualiti untuk kesihatan tubuh badan manusia," katanya ketika ditemui DagangNews baru-baru ini.

 

Terletak di Sungai Rengas, Kuala Terengganu, Zahon Cafe pernah tular di media sosial kerana dekorasinya yang dipenuhi koleksi ribuan bahan bacaan pelbagai genre untuk pengunjung.

 

 

cafe
Suasana kondusif di Zahon Cafe dengan dekorasi perpustakaan sangat selesa untuk pelanggan.

 

 

Antara hidangan yang sering menjadi pilihan pelanggan pula ialah Shoyu Ramen, Chicken Katsu Rice, Tobiko Mushroom pasta, Chicken Teriyakidon, Salmon Mentaikodon dan Teba Shio yang ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM11.90 hingga RM27.90.

 

 

cafe

 

 

Nor Fatihah berkata, Zahon Cafe sangat sesuai dikunjungi seisi keluarga dan mesra kanak-kanak kerana ibu bapa boleh menjamu selera dengan selesa sementara anak mereka membaca komik, buku cerita kanak-kanak atau bermain pelbagai mainan kreativiti yang disediakan.

 

"Ketika kafe ini mula dibuka, ramai yang ragu-ragu mengenai status halal makanan yang disediakan namun setelah kita maklumkan sumbernya adalah suci dan halal, tiada lagi keraguan.

 

 

cafe

 

 

cafe

 

 

"Melalui kuasa media sosial, nama Zahon Cafe cepat meniti di bibir rakyat Terengganu terutama peminat makanan Jepun yang mahu menikmati suasana selesa dan menarik seolah-olah berada dalam perpustakaan.

 

"Ruangan dekorasi perpustakaan juga sering menjadi tumpuan untuk pengunjung merakamkan video serta gambar kenang-kenangan yang menjadi platform pemasaran terbaik buat Zahon Cafe.

 

 

cafe

 

 

"Niat saya agar usaha kecil ini mampu memupuk budaya membaca di mana sahaja pada bila-bila masa kerana ia adalah amalan yang akan membentuk masyarakat positif dan berjaya," katanya. - DagangNews.com