Norazah Razali dilantik anggotai Lembaga Pengarah PNB | DagangNews Skip to main content

Norazah Razali dilantik anggotai Lembaga Pengarah PNB


KUALA LUMPUR 6 Mei - Yayasan Pelaburan Bumiputera turut mengumumkan pelantikan Datin Norazah Razali ke Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad berkuat kuasa pada 6 Mei 2021.

 

Norazah merupakan Penasihat Kanan di Boston Consulting Group (BCG), yang berperanan menyokong dan menasihati perniagaan dan organisasi di seluruh Asia Tenggara.

 

Beliau membawa bersamanya lebih daripada 20 tahun pengalaman perundingan strategik dan pengurusan yang mengkhususkan dalam transformasi perniagaan dan organisasi, penstrukturan, strategi yang dipacu pertumbuhan, pengembangan bakat dan kepemimpinan, serta tadbir urus.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Pengurusan, Imperial College London, UK.

 

“Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan PNB mengalu-alukan Tun Arifin dan Datin Norazah ke Lembaga Pengarah PNB dan teruja menantikan sumbangan mereka dalam mengawasi institusi dan aset yang diuruskan bagi pihak 14 juta rakyat Malaysia,” kata Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB. - DagangNews.com