Northport, Kaleris bekerjasama laksana Sistem Operasi Terminal Navis N4 tingkatkan produktiviti dan kecekapan operasi pelabuhan | DagangNews Skip to main content

Northport, Kaleris bekerjasama laksana Sistem Operasi Terminal Navis N4 tingkatkan produktiviti dan kecekapan operasi pelabuhan

Datuk Azman Shah Mohd. Yusof (kiri) dan Naib Presiden Jualan & Pengurus Besar Kaleris Asia Pasifik, See Jean Lau (kanan) bertukar perjanjian bertukar perjanjian kerjasama dalam satu majlis yang diadakan pada 10 Januari lalu.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Northport (Malaysia) Berhad bekerjasama dengan Kaleris bagi melaksanakan Sistem Operasi Terminal Navis N4 bermula Januari 2024, bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan, dan inisiatif operasi hijau di pelabuhannya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, kerjasama strategik antara Northport dan Kaleris adalah penting dalam penambahbaikan sistem operasi terminal.

 

"Langkah itu juga seiring dengan usaha meningkatkan infrastruktur dan kemudahan terminal sebagai sebahagian daripada program 'Pembangunan Semula Northport', penambahbaikan sistem operasi terminal merupakan langkah penting untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan sumber kami. 

 

"Pemantapan sistem ini adalah bukti komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan yang lancar, cekap dan optimum dalam ekosistem pelabuhan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak MMC Corporation Berhad mengambil alih Northport pada 2016, pelabuhan itu telah memulakan program strategik dengan objektif membawa perubahan kepada Northport bagi menjadi pelabuhan yang "Lebih Selamat, Lebih Hijau, Lebih Pintar, Lebih Baik".

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kaleris, Kirk Knauff berkata, Sistem Operasi Terminal Navis N4 itu mencakupi kendalian semua jenis kargo, menjadikannya sistem yang sesuai bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Northport. 

 

"Digabungkan dengan inovasi automasi yang diterajui oleh pelanggan kami, sistem ini berbeza daripada yang lain dalam industri dan memberikan nilai terbaik kepada Northport bagi pelaburan mereka.

 

"Kami berharap dapat menyokong inisiatif Northport untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kelestarian," katanya.

 

Northport akan melaksanakan N4 sebagai sebahagian daripada rumusan sepenuhnya dari Kaleris, yang merangkumi perisian pengurusan tenaga kerja dan semua komponen perkakasan dalam pelaksanaannya. 

 

Sistem Operasi Terminal Navis digunakan di lebih daripada 500 pelabuhan di seluruh dunia, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas.

 

Navis N4 menggunakan API terbuka dan selamat melalui Platform Pelaksanaan & Keterlihatan (Execution & Visibility Platform) Kaleris, satu rumusan logistik awan yang menghubungkan keterlihatan operasi kepada alur kerja pelaksanaan. 

 

Platform Pelaksanaan & Keterlihatan berkongsi data-data masa nyata, tepat dan berguna daripada nod-nod penting dan rakan perdagangan di seluruh rangkaian, yang menyelesaikan masalah berbeza dan kekurangan maklumat. - DagangNews.com