Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Syarikat pemaju hartanah, Oriental Interest Berhad (OIB) Group melancarkan projek perindustrian pertama iaitu Pulau Indah Arym untuk mendorong pertumbuhan ekonomi di Selangor.
Dalam usaha berkenaan, OIB menandatangani perjanjian bersama syarikat perkapalan terkemuka di Malaysia, MTT Shipping Sdn. Bhd. (MTT Shipping).
Melalui perjanjian tersebut, MTT Shipping dan syarikat berkaitan akan membeli enam lot tanah perindustrian seluas kira-kira 24.5 ekar dengan harga lebih RM70 juta sekali gus memeterai kerjasama pertama di pulau berkenaan.
Hingga kini, terdapat 196 ekar tanah yang mampu memuatkan 41 unit perindustrian dan komponen komersial kecil dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM400 juta.
Projek pembangunan tahap 1 dijangka siap pada suku pertama 2022.
Pengurus Besar Penjualan dan Pemasaran OIB, Wendy Lim berkata, biarpun OIB terkenal dengan pembangunan projek kediaman dan komersial, pihaknya mahu meneroka peluang baru dalam pasaran sektor hartanah perindustrian yang memiliki potensi besar untuk berkembang.
"Kami mula merancang untuk melaksanakan projek Arym di Pulau Indah sejak 2017 dan hasil kerja keras selama beberapa tahun membuahkan hasil apabila pelancarannya mendapat sambutan yang baik.
"Dengan lokasi yang strategik dan keluasan tanah yang sesuai, Pulau Indah Arym berjaya memenuhi keperluan MTT Shipping untuk pembangunan kemudahan pengangkutan bersepadu yang merangkumi depot kontena kosong, terminal kenderaan dan kemudahan membaiki kapal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pulau Indah Arym yang berbentuk seperti kapal berada di lokasi yang strategik dan terletak berhampiran pelabuhan utama negara yang sangat sesuai untuk MTT Shipping yang menyediakan perkhidmatan perkapalan lengkap antara Semenanjung dan Malaysia Timur dan pelabuhan serantau laut dalam seperti Singapura, Thailand dan Brunei.
Sementara itu, Pengarah Urusan MTT Shipping, Ooi Lean Hin berkata, kawasan seluas 24.5 hektar membolehkan mereka merasionalisasi pembangunan kemudahan pengangkutan bersepadu yang akan memberikan pengaruh positif kepada pelbagai kemudahan logistik di sekitar kawasan pembangunan.
"Lokasi tanah di sekitar pelabuhan utama negara, Westports, membantu pelanggan menjimatkan kos dan penyelesaian logistik yang cekap," tambah beliau. - DagangNews.com