KUALA NERUS 3 Jun - Golongan orang cacat penglihatan turut diberi peluang untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keempat di Terengganu kali ini.
Tinjauan DagangNews.com mendapati reruai milik Pusat Terapi 3R yang diusahakan Aziz Musa mendapat sambutan hangat dari pengunjung yang ingin mendapatkan khidmat urutan dan refleksologi.
Menggunakan khidmat dua tukang urut wanita dan dua tukang urut lelaki yang kesemuanya OKU cacat penglihatan, pelanggan juga berpeluang membeli minyak urut yang dihasilkan dari arnab.
Aziz berkata beliau gembira dapat menyertai Jelajah AKM kerana dapat memperkenalkan lagi perkhidmatan urutan dan refleksologi yang ditawarkan syarikatnya itu.
"Sudah tiba masanya, OKU cacat penglihatan 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' seperti manusia normal yang lain untuk berusaha mencari pendapatan sendiri.
"Kami ingin membuktikan bahawa kecacatan bukanlah halangan untuk kami berjaya dan saya gembira kerana ramai pengunjung berjanji akan terus mendapatkan terapi urutan dengan syarikat kami selepas ini," katanya.
Aziz yang merupakan pesara kerajaan berkata penyertaannya ke program Jelajah AKM itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu yang lain.
Ditanya mengenai minyak arnab yang diusahakannya pula, Aziz berkata ia antara produk yang sering 'diburu' pengunjung kerana terbukti berkesan melegakan sakit saraf dan sakit sendi.
Seorang pengunjung, Adiana Mohd Said, 21 berkata beliau kagum dengan semangat Aziz dan OKU cacat penglihatan yang lain kerana mereka tidak hanya 'berpeluk tubuh' mengharapkan bantuan dan simpati orang, sebaliknya berusaha dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi melalui perniagaan yang dijalankan.
"Saya pun akan bawa mak, ayah dan nenek untuk cuba berurut di sini esok kerana harganya agak murah iaitu RM30 untuk urutan kaki sahaja dan RM60 untuk urutan satu badan.
"Itu tanda sokongan kepada OKU cacat penglihatan agar mereka lebih bersemangat dalam perniagaan yang dijalankan," katanya.
Khidmat urutan kaki mengambil masa antara 30 hingga 45 minit manakala urutan satu badan pula mengambil masa antara 45 minit hingga sejam. - DagangNews.com