OKU dan penjaga di Lembah Klang disaran daftar program vaksinasi | DagangNews Skip to main content

OKU dan penjaga di Lembah Klang disaran daftar program vaksinasi

OKU

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Golongan OKU dan penjaga mereka di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disaran untuk mendaftarkan diri dalam 'Program Vaksinasi OKU & Penjaga OKU'.

 

Program berkenaan disediakan oleh Persatuan OKU Sentral dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Menurut maklumat yang dipaparkan di borang google program berkenaan, pendaftaran boleh dibuat bagi OKU yang berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

"Untuk perhatian semua, segala maklumat yang dikumpul melalui borang Google ini akan diserahkan kepada pihak CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19) bagi tindakan selanjutnya. 

 

"Perlu diingatkan bahawa pendaftaran bagi mendapatkan vaksin ini adalah secara sukarela. Ia terbuka kepada kesemua OKU & Penjaga OKU (Selangor, KL & Putrajaya) yang ingin mendapatkan vaksin bagi melindungi diri," jelas program itu.

 

Selain itu, borang berkenaan turut menyatakan bahawa ketetapan program vaksinasi yang bakal diadakan di Sime Darby Plantation Berhad, Ara Damansara akan dimaklumkan dalam masa terdekat. 

 

Sementara itu, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut memainkan peranannya sebagai Presiden Persatuan OKU Sentral dengan menjemput warga OKU di kawasan berkenaan untuk membuat pendaftaran.

 

Ras Adiba Radzi
Ras Adiba Radzi

 

"Saya Ras Adiba Radzi, Presiden Persatuan OKU Sentral ingin menyarankan agar kalian semua mengambil peluang dan usaha sama ini adalah pendekatan dan kaedah baharu dalam mengambil kira keperluan warga OKU di negara kita.

 

"Nantikan pengumuman Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin di waktu terdekat. Jangan lupa untuk daftar 'google form' yang disediakan," jelas beliau dalam satu video pendek yang dimuat naik di laman Twitternya hari ini. - DagangNews.com