'One-off' Permai perlu diperluas kepada pengayuh beca Melaka | DagangNews Skip to main content

'One-off' Permai perlu diperluas kepada pengayuh beca Melaka

Pengayuh beca Melaka

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Kerajaan Persekutuan diminta untuk mempertimbangkan bantuan sekali bayar atau 'one-off' kepada pengayuh beca di negeri Melaka melalui pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, bantuan sekali bayar kepada rakyat yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan amat dialu-alukan.

 

"Sebagai negeri pelancongan, bantuan sekali bayar kepada golongan rakyat termasuk yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan amat dialu-alukan selepas mereka terkesan dengan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Kedua-dua keadaan itu telah menyebabkan kehidupan rakyat khususnya di Melaka begitu terkesan manakala aktiviti ekonomi dan kegiatan perniagaan terutama yang berkaitan dengan sektor pelancongan di Melaka telah terjejas dengan teruk.

 

“Bagi pihak kerajaan negeri Melaka, saya amat berharap agar pengayuh beca yang terlibat secara langsung dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri juga dapat dipertimbangkan untuk diberikan bantuan yang sama seperti pemandu pelancong dan sebagainya," jelasnya seperti dilapor Bernama.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Permai untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah pakej tersebut yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

 

Bagi industri pelancongan, bantuan Permai secara one-off bernilai RM500 diberikan kepada 14,000 pemandu pelancong.

 

Bantuan tersebut turut diperuntukkan kepada 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM66 juta.

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, pihaknya akan menjalankan kerjasama bersama kementerian berkaitan untuk menyegerakan proses pembayaran. 

 

Selain one-off tersebut, Permai turut menyediakan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan yang diperluas kepada tujuh negeri PKP dan memanfaatkan seramai 500,000 PKS dengan bayaran RM1,000.

 

Manakala 300,000 PKS di negeri lain akan menerima bantuan tersebut dengan jumlah RM500.

 

Diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% juga diumumkan bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada pengendali hotel, taman tema, pusat pelancongan, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan. - DagangNews.com