LONDON 20 Okt. -Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar sekutunya semalam berjanji untuk bertindak bagi menyokong pasaran minyak ekoran meningkatnya kebimbangan pandemik COVID-19.
Menurut Reuters, Arab Saudi, anggota terbesar dalam OPEC berkata, sepatutnya tidak wujud sebarang keraguan terhadap komitmen kumpulan itu dalam menyediakan sokongan manakala tiga lagi sumber dari negara pengeluar menyifatkan perancangan untuk meningkatkan pengeluaran sejak Januari boleh diubah jika perlu.
Minggu lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman mengadakan dua panggilan telefon. Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata, hubungan yang kerap amat penting terutama dengan keadaan pasaran tidak menentu.
OPEC dan sekutunya termasuk Rusia yang dikenali sebagai OPEC+ telah mengurangkan pengeluaran sejak Januari 2017 bagi menyokong harga dan mengurangkan inventori.
Menteri Tenaga Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman berkata, kumpulan ini telah membuktikan mereka mempunyai fleksibiliti untuk menghadapi perubahan jika perlu.
"Kami tidak akan menolak tanggungjawab kami dalam hal ini," katanya.
Buat masa ini, OPEC+ mengurangkan pengeluaran sebanyak 7.7 juta tong setiap hari (bpd), menurun daripada 9.7 juta bpd mulai 1 Mei hingga 1 Ogos. OPEC+ perlu mengurangkan lagi 2 juta bpd pada Januari ini.
Pemerhati OPEC termasuk penganalisis dari bank J.P.Morgan di Amerika Syarikat (AS) menyifatkan prospek permintaan yang lemah akan mendorong OPEC+ menangguhkan pengurangan ini.
Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak memberitahu Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri OPEC+ (JMMC) bahawa ketika ini pemulihan permintaan masih tidak menentu dan proses tersebut semakin perlahan disebabkan kebimbangan gelombang kedua COVID-19. - DagangNews.com