KUALA LUMPUR 7 Feb - OpenSys (M) Bhd. memperoleh kontrak tambahan bernilai RM10.8 juta menerusi surat anugerah (LOA) untuk membekalkan lebih banyak Mesin Kitar Semula Wang Tunai (CRM) kepada cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
CRM adalah mesin dwi-fungsi yang menggantikan deposit tunai dan mesin pengeluaran tunai di bank dan institusi kewangan.
Ia membolehkan wang tunai yang didepositkan 'dikitar semula' dan dikeluarkan kepada pelanggan, justeru, menambah baik masa operasi dan memberi penjimatan kepada bank sehingga 30% daripada kos.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenSys, Eric Lim Swee Keah berkata, dengan pemerolehan terkini ini, membolehkan kumpulan terus mengekalkan penguasaan pasaran dalam ruang CRM dengan memasang lebih daripada 80% di Malaysia.
Katanya, tambahan kontrak daripada BSN ini mencerminkan keupayaan CRM untuk menjana penjimatan kepada kos operasi, menambah baik kecekapan operasi dan meningkatkan perkhidmatan perbankan kepada pelanggan.
"Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam menyokong usaha pendigitalan dan operasi bank, dan akan terus berusaha untuk menggalakan inisiatif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Penyedia perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan penyelesaian utiliti itu kali pertama membekalkan
CRM kepada BSN pada 2019.
Dengan tambahan pemasangan tambahan di bawah LOA terkini itu, BSN akan mentauliahkan lebih daripada 270 CRM di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Selain daripada membekalkan dan mentauliahkan CRM, OpenSys sebagai pembekal hujung ke hujung juga akan menjalankan penyelenggaraan mesin secara tetap. - DagangNews.com