Operasi 3 cawangan UMW Toyota Motor dipindah kepada pengedar | DagangNews Skip to main content

Operasi 3 cawangan UMW Toyota Motor dipindah kepada pengedar

SHAH ALAM 1 Sept. - Seiring dengan pengumuman UMW Toyota Motor (UMWT) pada Oktober 2017 untuk memindahkan semua operasi runcit cawangannya kepada pengedar dan pihak-pihak berkaitan, syarikat hari ini mengumumkan pemindahan tiga operasi di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak bermula hari ini.

Pengedar-pengedar terbaru berkenaan, Borneo Mobility (Sabah) Sdn Bhd dan Borneo Mobility (Sarawak) Sdn Bhd masing-masing akan mengambil alih cawangan di Kota Kinabalu dan Kuching.

Di Lembah Klang, PCM Subang Motor Sdn Bhd pula akan mengambil alih operasi cawangan Subang Jaya.

"Adalah penting bagi kami untuk terus mencapai tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi. Langkah ini akan membolehkan kami untuk memberi tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar, sementara pihak pengedar pula boleh menumpukan usaha mereka untuk memenuhi kepuasan pelanggan dengan lebih baik," ujar Presiden UMWT, Ravindran K.

"Kami bekerja dengan lebih dekat dengan pengedar-pengedar ketika ini untuk menzahirkan visi bersama untuk UMWT, iaitu untuk membawakan konsep "Terbaik di Bandar", bermaksud untuk memberi lebih tumpuan terhadap layanan individu terhadap pelanggan," tambah beliau.

Pengumuman ini menjanjikan fasa yang lebih menarik bagi sokongan terhadap pelanggan seperti yang diamalkan UMWT selama ini. Ia juga bermanfaat untuk merancakkan lagi semangat keusahawanan yang lebih kuat di dalam lingkungan ekonomi tempatan. - DagangNews.com