Operasi kilang Supermax di AS seiring rancangan Joe Biden | DagangNews Skip to main content

Operasi kilang Supermax di AS seiring rancangan Joe Biden

Supermax

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Pengembangan kilang sarung tangan getah Supermax Corporation Berhad (Supermax) di Amerika Syarikat (AS) adalah seiring dengan keperluan dan perancangan Presiden AS, Joe Biden terhadap pengeluaran alat perlindungan diri (PPE).

 

MIDF Research berkata, Joe Biden mahu meningkatkan pengeluaran PPE di negara tersebut dalam usaha memerangi wabak COVID-19 yang terus menular.

 

"Oleh demikian, kami percaya bahawa pihak berkuasa tempatan mungkin akan membantu pengeluar untuk mempercepatkan proses pengeluaran.

 

"Ia juga berpotensi untuk menyediakan insentif kepada pengeluar hingga negara (AS) dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara luar untuk bekalan PPE di masa hadapan," jelas MIDF Research.

 

Dalam taklimat maya bersama MIDF Research, Supermax memaklumkan bahawa purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah dijangka kekal kukuh susulan kekurangan bekalan sarung tangan getah nitril.

 

Pihak pengurusan Supermax menjangkakan situasi tersebut berlanjutan dalam tempoh lebih kurang setahun setengah hingga dua tahun.

 

Supermax juga berdepan dengan masalah margin keuntungan yang merosot sebanyak c.5ppt pada suku kedua tahun kewangan 2021 berbanding suku sebelumnya.

 

Perkara tersebut berlaku disebabkan oleh kos bahan mentah yang tinggi sementara harga jualan kepada pelanggan telah ditetapkan pada sebelumnya.

 

Supermax bagaimanapun menyusun langkah untuk membuat penyesuaian harga dengan memasukkan kos bahan mentah yang lebih tinggi.

 

MIDF Research turut mengekalkan saranan 'beli' saham Supermax dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah sebanyak RM13.83.

 

"Hasil dividen berdasarkan tahun kewangan 2021 dianggar sebanyak 8.8% dan 4.3% pada tahun kewangan 2022," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com