KUALA LUMPUR 7 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengetatkan lagi dasar monetarinya pada November berikutan prospek pertumbuhan positif Malaysia, sekali gus meningkatkan jangkaan kenaikan lagi kadar dasar semalaman (OPR) pada tahun hadapan.
Khamis lalu, BNM dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menaikkan kadar faedah itu buat kali keempat berturut-turut tahun ini, menjadikannya kepada 2.75%.
Sehubungan itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan kadar tersebut akan dinaikkan lagi sebanyak 50 mata asas pada separuh pertama 2023.
Menurutnya, MPC mengulangi pendiriannya bahawa ia tidak membuat sebarang ketetapan awal dan akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
"Bagaimanapun, mereka menyedari bahawa pelarasan ini juga akan menguruskan risiko permintaan yang berlebihan terhadap tekanan harga, yang menampakkan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan inflasi lebih tinggi pada 2023.
"Ini berikutan tekanan kos yang tinggi dan kemungkinan perubahan terhadap langkah dasar domestik," katanya dalam nota kajian.
Baca : BNM naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%
Menurut BNM, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari setelah mengambil kira prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif.
Pelarasan itu juga akan menguruskan secara lebih awal berhubung dengan risiko tekanan permintaan terhadap harga yang berlebihan.
Malah, jelas bank pusat lagi, keputusan berkenaan adalah selaras dengan penyesuaian semula penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan dalam negeri yang mampan.
Sebaliknya, Kenanga Research berpendapat BNM mungkin 'berhenti' seketika dalam mengetatkan kitaran monetarinya susulan pertumbuhan global yang perlahan.
Katanya, ini antaranya, disebabkan sekatan berterusan di China bagi mengekang penularan COVID-19 dan jangkaan kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah pada 2023.
"Selain itu, ketidakpastian mengenai keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan peningkatan risiko politik dan dasar akan melemahkan lagi prospek pertumbuhan dan sentimen pelaburan.
"Namun, kami menjangkakan kemungkinan kenaikan 25 mata asas akan dilaksanakan pada Januari tahun depan. Selepas itu, BNM akan berhenti mengetatkan dasarnya dan akan kembali semula sekitar akhir separuh kedua 2023," jelasnya.
Sementara itu, menurut Maybank Investment Bank (IB), kenaikan OPR dalam tempoh dua minggu sebelum menjelangnya hari pengundian PRU15, membuktikan pendirian BNM yang bebas dalam menentukan dasar monetarinya.
Firma itu mengunjurkan OPR akan meningkat sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00% apabila MPC BNM bermesyuarat kali pertama bagi 2023 pada 18 hingga 19 Januari depan.
"Kadar ini telah meningkat 100 mata asas kepada 2.75% pada 2022. Pernyataan dasar monetari BNM mengulangi bahawa pendirian dasar monetari masih akomodatif, bukan berdasarkan sebarang ketetapan awal, bergantung kepada data dan pelarasan dasar monetari akan kekal diukur dan beransur-ansur. - DagangNews.com