Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Mei - Setelah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuaratnya semalam, penganalisis kini menjangkakan kadar itu kekal sepanjang 2021.
Malah, pada tahap 1.75%, ia dilihat akomodatif dalam menyokong pemulihan ekonomi negara yang ketika ini sekali lagi berdepan dengan penguatkuasaan perintah sekatan pergerakan (PKP) di beberapa negeri.
Dengan kekalnya kadar ini, ia bermakna prospek pertumbuhan ekonomi masih 'dibayangi' kebimbangan situasi pandemik yang masih tidak menentu sejak COVID-19 mula tercetus akhir 2019.
Menurut MIDF Research, meskipun aktiviti ekonomi menunjukkan peningkatan tetapi keputusan BNM itu diambil bagi memastikan pemulihan yang lebih kukuh di tengah-tengah kebimbangan situasi COVID-19 yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan negara.
"Buat masa ini, kami berpendapat PKP 3.0 yang hanya dilaksanakan di kawasan tertentu memberi risiko penurunan sementara, justeru tiada keperluan dasar monetari dilonggarkan memandangkan aktiviti perniagaan masih beroperasi.
"Tetapi, BNM masih mempunyai ruang untuk mengurangkan lagi kadar faedah ini sekiranya keadaan ekonomi merosot dengan ketara," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan kadar faedah akan kekal pada tahap semasa sepanjang tahun ini.
Semalam, BNM menjelaskan bahawa penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi terus bertambah baik pada suku pertama dan sehingga April.
Walaupun pelaksanaan semula langkah pembendungan di lokasi terpilih baru-baru ini akan menjejaskan kegiatan ekonomi dalam jangka pendek, kesannya akan kurang teruk memandangkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.
Bank juga menjangkakan purata inflasi keseluruhan pada 2021 diunjurkan lebih tinggi antara 2.5% hingga 4% peratus, disebabkan terutama oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat.
Dari segi trakjektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua 2021 disebabkan terutama oleh asas lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku sama 2020.
Dalam pada itu, CGS-CIMB berpendapat, BNM akan mengekalkan inflasi teras memandangkan ia masih dilihat lemah pada 0.5% hingga 1.5% tahun ini sebagai komposisi arah dasar monetari.
"Sekiranya kenaikan harga komoditi tidak memberi kesan, kami jangkakan BNM akan mengekalkan kadar OPR pada 1.75% tahun ini.
"Kami juga berpendapat, normalisasi kadar ini mungkin akan berlaku tahun hadapan, bersandarkan kepada kejayaan pelancaran vaksin COVID-19, pemulihan ekonomi dan pasaran kerja yang kukuh," katanya.
Menurut AmBank Research, kadar OPR itu setakat ini telah dikurangkan sebanyak 125 mata asas dalam tempoh 7 bulan pertama 2020 dan sejak itu kekal berada pada paras rendah.
Secara dasarnya, katanya, tiada desakan kepada BNM untuk menilai semula kadar faedah ini, dengan petunjuk ekonomi menunjukkan momentum prestasi ekonomi bertambah baik.
"Bagaimanapun, risiko penurunan masih kekal ada terutama situasi pandemik yang tidak menentu. Dalam masa sama, terdapat risiko turun naik dalam pasaran kewangan," katanya.
Walaupun firma itu menjangkakan tiada perubahan kepada OPR tahun ini, tetapi BNM boleh membuat penilaian semula kadar itu dengan menaikkan 25 mata asas pada separuh kedua 2021.
Maybank Invesment Bank pula melihat tiada keperluan bagi BNM untuk menaikkan kadar faedah di sebalik risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan.
Ini kerana, katanya, kelemahan ekonomi masih ketara, antaranya, jurang output yang negatif, kadar pengangguran belum pulih dan inflasi teras masih lemah.
"Tambahan pula, ruang fiskal dilihat terhad apabila kerajaan mula menggunakan dana dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membiayai program vaksin sebanyak RM5 bilion yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada bajet tahun ini," katanya.
Pada 27 April lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana KWAN perlu digunakan kerana krisis yang dihadapi kini bukanlah krisis ekonomi seperti 1998 dan 2008, sebaliknya ia adalah krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak. - DagangNews.com