OPR kekal pada paras 3%, MIDF Research positif terhadap prospek hartanah | DagangNews Skip to main content

OPR kekal pada paras 3%, MIDF Research positif terhadap prospek hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor hartanah disokong keadaan kediaman tidak terjual bertambah baik dan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah.

 

Katanya, kadar OPR yang tidak berubah seharusnya menyokong pemulihan sektor itu.

 

"Kami berpendapat bahawa OPR sebanyak 3% akan kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan sektor hartanah.

 

"Memandang ke hadapan, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 3% pada 2024 dan ia seharusnya terus menyokong pemulihan sektor hartanah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Berdasarkan maklumat Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), pangsapuri servis tidak terjual bertambah baik pada suku ketiga tahun ini dengan jumlah pangsapuri servis tidak terjual yang lebih rendah sebanyak 22,152 unit berbanding 22,497 unit pada suku kedua.

 

Keadaan itu bertambah baik terutamanya di Johor dengan unit tidak terjual sebanyak 12,646 unit pada suku ketiga berbanding 13,366 unit pada suku sebelumnya.

 

Johor merupakan negeri yang mempunyai pangsapuri tidak terjual perkhidmatan tertinggi yang menyumbang kepada 57% kepada jumlah tidak terjual.

 

Firma penyelidikan itu berkata, data permohonan pinjaman daripada BNM menunjukkan minat belian ke atas hartanah kekal menggalakkan.

 

Katanya, permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat sebanyak 23% kepada RM54 bilion pada Oktober 2023 selepas pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 15.7% pada September 2023.

 

"Secara kumulatif, permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah bagi tempoh 10 bulan tahun ini adalah lebih tinggi iaitu RM512 bilion mewakili peningkatan 4.4%," katanya.

 

Pilihan utama MIDF Research untuk sektor ini ialah Mah Sing (beli, TP: 99 sen) dan Matrix Concept (BELI, TP: RM1.86) kerana berpendapat bahawa pemaju hartanah yang menumpukan pada rumah mampu milik seharusnya melihat permintaan lebih baik kerana rumah mampu milik kekal berdaya tahan.
 

"Kami juga menyukai Sunway Berhad (beli, TP: RM2.25) kerana prospek yang lebih baik untuk Iskandar Malaysia manakala penyenaraian Sunway Healthcare menjelang 2027 sepatutnya menyediakan pemangkin kepada kumpulan itu," katanya.  - DagangNews.com