Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis - MIDF Research kekal optimis dengan prospek Astro Malaysia Holdings Bhd. meskipun prestasi kewangannya bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2021 kurang memuaskan.
Firma itu menilai positif Astro memandangkan perbelanjaan pengiklanan (adex) akan meningkat setelah ekonomi dibuka semula.
"Kami juga yakin dengan perkembangan terkini kumpulan terutama menerusi kerjasama dengan Netflix dan perancangan untuk menjadi penyedia perkhidmatan internet.
"Ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setelah mengambil kira semua faktor ini, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Astro dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.18.
Baca : PATAMI Q3FY22 Astro melonjak 21% kepada RM106 juta
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih Astro suku ketiga itu turun kepada RM105.92 juta daripada RM164.53 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga susut kepada RM1.02 bilion daripada RM1.11.
Pendapatan terus menerima impak daripada pandemik COVID-19 yang menyaksikan penurunan 7.6% daripada suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan terutamanya penurunan langganan, hasil pengiklanan dan jualan barangan dagangan tetapi diimbangi oleh peningkatan jualan hak program.
Susulan itu, MIDF Research menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 11% kepada RM482 juta, tetapi mengekalkan unjuran bagi FY23 dan FY24.
"Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen pada suku itu sebanyak 1.5 sen, menjadikan jumlah dividen diisytiharkan bagi tempoh 9 bulan kepada 4.5 sen, yang mana berada dalam unjuran kami," jelasnya.
Setakat 9.07 pagi ini, harga saham Astro susut 1 sen atau 1.04% kepada 95.5 sen dengan 184,600 saham diniagakan. - DagangNews.com