Optimis dengan prospek Bonia, CGS-CIMB naikkan TP kepada RM2.50 | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan prospek Bonia, CGS-CIMB naikkan TP kepada RM2.50

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Feb - Langkah Bonia Corporation Bhd. 'memodenkan' perniagaan bagi menambat hati pengguna pada ketika peruncit lain bergelut dengan impak pandemik COVID-19, menjadikan prospek masa depannya semakin kukuh. 

 

Ini membolehkan syarikat melangkah keluar daripada cabaran wabak itu dengan lebih mantap, demikian menurut CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya.

 

Jelasnya, Bonia melaksanakan beberapa usaha dalam tempoh itu bagi meningkatkan prospek jangka panjang, antaranya bekerjasama dengan artis tempatan dan antarabangsa, melancarkan lebih banyak produk baharu mengikut trend semasa dan merancakkan lagi aktiviti promosi dan pemasaran.

 

Malah, firma itu juga positif dengan usaha kumpulan untuk mengembangkan penyertaannya dalam ruang digital dengan jualan e-dagang merangkumi 7.9% daripada hasil pada suku pertama berakhir 30 September 2021 (berbanding 0% pada tahun kewangan 2019).

 

"Selain melabur dalam pemasaran digital dan meningkatkan jenamanya di media sosial serta memanfaatkan laman webnya, Bonia juga mengguna pakai pemasaran pihak ketiga untuk mempelbagaikan saluran jualan dalam talian. 

 

"Memandangkan usahanya dalam ruang digital, kami percaya Bonia akan menumpukan pada strategi saluran-omni, dan bukannya bergantung semata-mata kepada jualan luar talian seperti sebelum ini," katanya.

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengulangi penarafan saham Bonia dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran lebih tinggi pada RM2.50 daripada RM1 sebelum ini.

 

Bonia dilihat sebagai proksi yang kuat untuk pemulihan dalam perbelanjaan pengguna yang berhemah.

 

Firma itu juga menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 53.6 hingga 58.8% setelah mengambil kira jualan yang lebih tinggi, kenaikan harga dan skala ekonomi yang lebih tinggi.

 

Menurutnya, Bonia mempamerkan pemulihan yang kukuh dalam jualan bagi kedai fizikal sejak langkah sekatan pergerakan berkurangan pada suku kedua FY22 didorong permintaan terpendam (pent-up) pengguna.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan Bonia akan mengekalkan jualan yang mantap pada suku-suku akan datang dalam FY22. 

 

"Prestasi kukuh ini akan disokong dengan sambutan perayaan, pelancaran produk baharu, persaingan yang semakin berkurangan daripada pesaing yang sama disebabkan penutupan cawangan dan aktiviti pemasaran yang kurang disebabkan penularan wabak," jelasnya.

 

Pada suku pertama berakhir 30 September 2021, Bonia mencatat kerugian bersih sebanyak RM4.84 juta berbanding untung bersih sebanyak RM5.36 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga susut kepada RM42.85 juta daripada RM69.59 juta. 

 

Setakat 11.42 pagi ini, harga saham Bonia menokok 13 sen atau 8.39% kepada RM1.68 dengan 4.49 juta saham diniagakan. - DagangNews.com